WASHINGTON – Pengawal Selia Penerbangan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penggantungan semua pesawat McDonnell Douglas MD-11 bagi tujuan pemeriksaan keselamatan semalam.
Keputusan dibuat selepas sebuah pesawat kargo MD-11 milik United Parcel Service (UPS) terhempas dan terbakar sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Muhammad Ali, bandar Louisville pada Selasa lalu.
Nahas tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang.
Firma penghantaran kargo, UPS dan FedEx menggantung semua armada MD-11 masing-masing, manakala pemilik McDonnel Douglas, Boeing menyarankan semua pengendali agar menghentikan operasi pesawat tersebut.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengeluarkan arahan kecemasan dengan melarang sebarang penerbangan pesawat berkenaan sehingga pemeriksaan dan semua langkah pembetulan dilakukan.
Arahan itu terpakai pada untuk pesawat MD-11 dan MD-11F.
“Penggantungan penerbangan berpunca daripada insiden di mana enjin kiri dan pilon pesawat MD-11 tercabut semasa berlepas, keadaan tidak selamat yang mungkin wujud atau berlaku pada produk lain dengan reka bentuk sama,” kata FAA.
Pada Jumaat lalu, UPS memutuskan untuk menggantung sementara semua MD-11 miliknya sebagai langkah berjaga-jaga.
“MD-11 merangkumi sembilan peratus daripada armada kami,” kata UPS.
FedEx pula menggantung operasi kira-kira 28 MD-11 daripada 700 pesawat miliknya bagi menjalankan pemeriksaan keselamatan.
Kedua-dua syarikat penerbangan itu berkata, langkah itu dibuat atas cadangan pengeluar pesawat berkenaan.
MD-11 pada asalnya dibina oleh McDonnell Douglas sebelum diperoleh Boeing pada 1997. – AFP














