fbpx
Samarkand di Uzbekistan menggamit kedatangan pelancong dari serata dunia.

Samarkand permata seni bina Islam, Parsi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERJALANAN selama dua jam menaiki kereta api laju Afrosiyob dari Taskent ke Samarkand, Uzbekistan ternyata memberi persepsi baharu kepada anak kelahiran Seberang Jaya, Pulau Pinang itu terhadap pesona tersimpan di bumi Asia Tengah.

Sebelum ini pemilik nama Ahmad Hafiy Ahmad Fezul, 29, hanya diceritakan mengenai keindahan seni bina di Uzbekistan tanpa melihat dengan pandangannya sendiri.

Menurut pemuda itu, perasaan teruja terus mendakap dirinya tatkala tiba di Samarkand selepas melihat bangunan bersejarah dihiasi pelbagai bentuk mozek berwarna-warni yang menterjemahkan kekayaan budaya Islam dan Parsi.

“Perasaan pertama bila tiba di Registan Square terletak di Samarkand memang sukar digambarkan dengan kata-kata. Ia seperti melangkah masuk ke dalam helaian sejarah Islam yang masih hidup.

“Jika dapat digambarkan dengan kata-kata, ia seperti melihat bangunan megah dengan kubah biru dan mozek berwarna turquoise yang berkilau, sekali gus mempamerkan keindahan warisan silam,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Untuk makluman, Samarkand yang terletak di timur Uzbekistan merupakan antara kota tertua di dunia dengan anggaran usia melebihi 2,700 tahun.

Kota itu juga pernah menjadi pusat perdagangan utama di Laluan Sutera yang menghubungkan China, India, Parsi dengan Eropah selain menjadi pusat ilmu, seni, astronomi serta seni bina Islam terkenal dunia.

Antara tokoh Islam terkenal yang dikaitkan dengan kota itu termasuk Imam al-Bukhari serta ahli astronomi juga pemerintah Samarkand iaitu Ulugh Beg.

Mengulas lanjut, pegawai komunikasi itu berkata, selain Registan Square yang terkenal dengan bangunan seperti Ulugh Beg Madrasah, Sher-Dor Madrasah dan Tilya-Kori Madrasah, keseluruhan kota itu turut mencerminkan keindahan seni bina Islam-Parsi.

AMEEN NUR HARDEE (kiri) dan Ahmad Hafiy (kanan) tertarik dengan pemandangan dan seni bina di Samarkand dalam kunjungan ke kota itu baru-baru ini.

Katanya, antara bangunan yang turut menterjemahkan kekayaan seni bina sama termasuklah Gur-e-Amir Mausoleum, makam Amir Timur dan Masjid Bibi-Khanym yang mengetengahkan corak geometri dan kaligrafi menakjubkan.

“Paling menonjol ialah penggunaan jubin berwarna biru dan turquoise dengan corak geometri Islam yang sangat teliti.

“Ia bukan sekadar hiasan, tetapi setiap corak ada falsafah, melambangkan ketuhanan dan kesempurnaan ciptaan.

“Selain itu, teknik mozek dan kaligrafi Arab lama dengan gabungan Islam, Parsi dan Asia Tengah turut menjadikan setiap bangunan bagaikan karya seni halus,” katanya.

Selain terkenal dengan kekayaan seni bina, pengiktirafan Samarkand sebagai Tapak Warisan Dunia turut menyebabkan kota itu menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia termasuk Malaysia.

Seorang penulis, Ameen Nur Hadee, 26, berkata, Samarkand yang terkenal dengan jolokan ‘Permata Jalan Sutera’ menjadi tumpuan pelancong bukan sahaja disebabkan seni bina semata-mata, sebaliknya turut menawarkan kekayaan sejarah.

“Sejujurnya, rakan sekerja sering bercerita mengenai keindahan di Samarkand kerana saya begitu meminati lokasi percutian yang mempunyai kekayaan seni bina selain penceritaan sejarah.

“Jadi, apabila AirAsia X membuka laluan terus antara Kuala Lumpur dan Tashkent, saya merasakan ia peluang terbaik untuk rakyat Malaysia seperti saya untuk meneroka destinasi itu,” katanya.

Kata anak kelahiran Bagan Datuk, Perak itu, majoriti penduduk Islam yang terdapat di Samarkand juga memudahkan pelancong terutamanya dari Malaysia untuk berkunjung ke destinasi tersebut.

“Selain melihat keindahan seni bina, kami juga berpeluang meneroka kekayaan letusan rasa di wilayah itu apabila berpeluang merasai pelbagai hidangan tradisional penduduk tempatan.

“Pastinya, menu tempatan seperti nasi pilaf dihidangkan bersama daging dan kambing selain hidangan teh hijau yang menjadi simbolik Uzbekistan antara patut dicuba pelancong,” katanya.

Pada 15 Oktober lalu, syarikat AirAsia X melancarkan laluan terus antara Kuala Lumpur dan Tashkent, sekali gus diihat bakal meningkatkan kedatangan pelancong Malaysia khususnya ke Samarkand.

Pelancaran penerbangan terus selama tujuh jam menggunakan pesawat Airbus 330-300 itu juga dilihat bakal mencipta trend baharu penerokaan ke Asia Tengah secara lebih mesra poket.

Menurut pegawai khas Jawatankuasa Pelancongan Samarkand, Dilshod Ashurov, pihaknya menyasarkan jumlah kedatangan pelancong sehingga 15,000 orang tahun ini susulan pembukaan laluan baharu itu.

Jelasnya, sebelum ini, jumlah pelancong Malaysia ke Uzbekistan ialah sekitar 4,396 pada 2023 sebelum meningkat kepada 9,464 pada tahun lalu.

Ia menunjukkan trend peningkatan yang ketara.

Katanya, kekayaan seni bina di Samarkand bukan sahaja menjadi faktor utama kedatangan pelancong Malaysia, sebaliknya turut dipengaruhi dengan majoriti penduduk Islam di sana.

“Kami juga banyak memberi tumpuan kepada pelancongan agama dan budaya bagi menarik kedatangan pelancong Malaysia yang mempunyai majoriti penduduk Islam.

“Selain itu, kami turut mempromosikan pakej Umrah Plus iaitu jemaah Malaysia boleh melawat lebih 3,000 tapak sejarah Islam sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN