BALIK PULAU – Projek sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) yang disokong platform digital bersepadu kini berada di peringkat Request for Proposal (RFP).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya kini membuka peluang kepada mana-mana pihak berminat untuk mengemukakan cadangan bagi pelaksanaan sistem tol tanpa palang itu.
“Kita mengamalkan sistem RFP, jadi kita juga gunakan kaedah business to business. Sekarang kita masih buka kepada pihak yang berminat dan menerima pelbagai cadangan daripada mereka,” katanya selepas mengadakan lawatan tapak di projek pembaikan cerun di laluan FT006 Seksyen 40.84 Jalan Balik Pulau – Teluk Bahang di sini, hari ini.
Sistem ANPR mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan melalui kamera dan membolehkan bayaran tol dibuat secara digital tanpa tunai, selain menyediakan paparan e-invois, semakan transaksi dan pelbagai perkhidmatan mobiliti lain melalui satu platform digital bersepadu.
Pengguna hanya perlu mendaftar secara dalam talian menggunakan maklumat pengenalan diri, kenderaan dan kaedah pembayaran.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tempoh penilaian akan mengambil sedikit masa kerana setiap cadangan perlu diteliti dengan mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kita ada timeline kita. Tunggu sebentar, beberapa bulan lagi baru kita boleh perhalusi kerana banyak perkara perlu diteliti. Banyak sistem dikemukakan dan kita mahu cari yang terbaik,” jelasnya.
Alexander berkata, kajian rapi turut dilakukan dengan meninjau pelaksanaan sistem pengangkutan pintar (Intelligent Transport System, ITS) di beberapa negara maju.-KOSMO! ONLINE














