RIYADH – Bintang tenis No. 1 dunia, Aryna Sabalenka bangkit selepas permulaan perlahan untuk menundukkan juara bertahan, Coco Gauff 7-6 (7/5), 6-2 sekali gus melayakkan diri ke separuh akhir WTA Finals di Riyadh, Arab Saudi semalam.
Kemenangan itu bukan sahaja menyingkirkan Gauff daripada kejohanan, malah turut membuka ruang kepada Jessica Pegula layak ke kelompok empat terbaik.
Sabalenka yang memburu gelaran sulung dalam kejohanan penamat musim itu, muncul juara Kumpulan Steffi Graf dan bakal menentang Amanda Anisimova di separuh akhir awal pagi esok.
“Setiap kali berdepan dengannya, ia sentiasa sengit. Saya suka perlawanan seperti itu. Saya teruja untuk bertemunya lagi dan saya harap ia satu aksi yang hebat,” kata Sabalenka
Gauff bermula agresif apabila berjaya mematahkan servis lawan dan mendahului 4-2 di Arena Universiti King Saud, namun Sabalenka kekal tenang sebelum memecahkan rentak lawan untuk mengikat kedudukan 5-5.
Sabalenka kemudian mengawal tie-break dengan lebih kemas sebelum mendominasi set kedua untuk mendahului 4-0 dan tidak lagi menoleh ke belakang selepas itu.
“Saya cuba kekal agresif dan mencari kembali rentak permainan. Pada satu ketika, saya hanya fokus kepada set kedua, tapi saya berjaya ubah momentum itu. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini,” katanya.
Dalam satu lagi perlawanan, Pegula mencatat kemenangan selesa 6-2, 6-3 ke atas Jasmine Paolini yang sudah pun tersingkir awal daripada kejohanan itu.
“Kami akan meraikan kemenangan ini seketika, tapi selepas itu perlu tukar fokus kerana jadual sangat rapat,” kata Pegula yang akan bertemu pemain Kazakhstan, Elena Rybakina di separuh akhir. – AGENSI














