SHAH ALAM – Pengacara Raja Azura mendedahkan tiga anaknya tidak pernah bertemu dengan bapa mereka iaitu Adzmin Osman sejak 13 tahun lalu.
Raja Azura, 53, berkata, Adzmin tidak pernah menjalankan tanggungjawab sebagai bapa termasuk culas memberi wang perbelanjaan kepada tiga anak mereka iaitu Megat Muhammad Raziq, 23, Megat Luqman Haqim, 22, dan Puteri Mia Maizura, 20.
“Kali terakhir dia jumpa anak kami yang bongsu ketika umur 12 tahun iaitu pada tahun 2012 kemudian tidak lagi bertemu.
“Anak saya juga tak pernah bersalaman dengan ayah mereka pada hari raya Aidilfitri dan tidak pernah menerima ucapan setiap kali tiba hari jadi,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sebutan pertama kes tuntutan nafkah terhadap Adzmin di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.
Meski Adzmin dikatakan culas membayar nafkah, Raja Azura memberitahu dia tidak pernah menghasut anak-anak untuk membenci bapa mereka.
“Saya memang didik anak saya menghormati ayah mereka dan tidak pernah menghalang atau meracuni fikiran dengan memburuk-burukkan Adzmin.
“Malah, saya selalu minta anak-anak doakan supaya ayah mereka kaya-raya dan bahagia supaya dapat bagi nafkah,” jelasnya.
Dia bagaimanapun menegaskan tetap mengekalkan hubungan baik dengan keluarga bekas suami termasuk bapa mentuanya.
“Walaupun sudah berpisah, saya tetap hormat bapa mentua dan anak-anak saya adalah darah dagingnya juga.
“Setiap kali hari raya dan bulan Ramadan, saya tak pernah lupa dan akan bawa anak-anak berjumpa dengan bapa mentua di kediamannya di ibu negara,” katanya lagi.
Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan tarikh 3 Disember depan untuk pihak peguam mewakili Raja Azura, bagi menghantar laporan mengenai penyampaian ganti yang dihantar kepada bekas suami selepas proses pertama iaitu serahan notis kepada Adzmin menemui jalan buntu.
Terdahulu, Raja Azura pada 10 September lalu memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya daripada Adzmin yang didakwa culas membayar mengikut perintah mahkamah sejak bercerai 15 tahun lalu.
Raja Azura dan Adzmin mendirikan rumah tangga pada tahun 2001 bercerai dengan Adzmin pada 28 September 2010. – KOSMO! ONLINE














