KANGAR – Kes penyeludupan petrol di sempadan berkurangan 70 peratus selepas pelaksanaan program Budi Madani Ron95 (Budi95) yang dilancarkan pada 30 September lalu.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, Rohaida Hassan berkata, aktiviti penyeludupan petrol di sempadan pada tahun lalu merekodkan sebanyak 99 kes manakala tahun ini pula mencatatkan sebanyak 30 kes sehingga tempoh 31 Oktober lalu.
Menurut beliau, secara keseluruhannya, KPDN negeri juga tidak ada menerima aduan berhubung sebarang permasalahan melibatkan Budi95di stesen-stesen minyak sekitar Perlis.
“Cuma sewaktu awal pelaksanaan Program Budi95 sekitar bulan Oktober lalu, ada satu aduan di mana terdapat pihak mendakwa dia membuat pengisian RM50 namun jumlah itu kurang.
“Bagaimanapun selepas KPDN lakukan pemeriksaan bersama syarikat dilantik, maka kita dapati bahawa ia masih mengikut piawaian ditetapkan,” katanya selepas sesi Walkabout Program Pasar Patuh (3P) di Pasar Awam Kuala Perlis, di sini, hari ini.
Pelaksanaan program Budi95 membolehkan 16.55 juta rakyat Malaysia menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter, berbanding harga pasaran tanpa subsidi sebanyak RM2.60 seliter – KOSMO! ONLINE














