DI dewan besar yang dipenuhi debaran dan harapan, nama Hana Munira Jefri bergema di udara dan sekelip mata seluruh dunia seolah-olah bertumpu kepadanya.
Gadis berusia 14 tahun itu terpaku di tempat duduknya dan tidak percaya bahawa dia baru sahaja diumumkan sebagai juara dunia pertandingan kemahiran berbahasa Inggeri, HIPPO English Language Olympiad (HIPPO) 2025 di Assisi, Itali.
Getar di dada bertukar menjadi keharuan dan air mata yang cuba ditahan akhirnya menitis juga. Di sisi pentas, ibunya yang menemaninya menempuh perjalanan panjang ke Itali tersenyum bangga dengan mata yang turut berkaca.
Bagi Hana, detik itu bukan sekadar kemenangan tetapi bukti bahawa usaha gigih dan keyakinan mampu membawa mimpi remaja Malaysia ke pentas dunia.
“Apabila saya mendengar nama saya disebut sebagai juara, saya benar-benar terkejut. Saya tak sangka boleh menang sebab ini kali pertama saya sertai pertandingan HIPPO.
“Saya rasa sangat terharu sampai menitis air mata. Ia satu pengalaman yang takkan saya lupakan, terutama bila nampak wajah ibu yang begitu bangga dengan saya,” katanya kepada K-Remaja.
Untuk pengetahuan, Hana memenangi gelaran juara dunia bagi kategori HIPPO S3, manakala seorang lagi pelajar Malaysia, Nicole Christine Noelle Xavier, turut bergelar juara dunia bagi kategori HIPPO S2 dalam pertandingan itu.
HIPPO merupakan pertandingan antarabangsa anjuran Global Hippo Association dengan kerjasama Pearson English.
Bagi pelajar peringkat awal umur sekitar 6 hingga 9 tahun, mereka menyertai kategori Baby HIPPO atau Little HIPPO.
Kategori HIPPO 1 hingga HIPPO 5 disediakan untuk pelajar berusia lebih 9 tahun dengan tahap kemahiran yang semakin meningkat.
Terdapat juga kategori khas bagi pelajar yang lebih mahir atau bilingual iaitu HIPPO S1 hingga S5, yang menekankan tahap kemahiran bahasa Inggeris yang lebih tinggi.
Pertandingan tersebut mempunyai tiga peringkat utama iaitu Preliminary Round di peringkat negara, Regional Finals di negara serantau seperti Vietnam, Croatia atau Turkiye dan World Finals yang diadakan setiap tahun di Itali.
Ujian meliputi empat komponen iaitu Reading, Listening, Use of English serta Speaking yang disertai lebih 70,000 peserta dari lebih 50 negara.
Mengulas mengenai penyertaannya, pelajar Cempaka International School itu mula mengetahui tentang pertandingan itu melalui ibunya yang mencadangkannya untuk mencuba pertandingan tersebut.
Untuk peringkat awal, Hana membeli kertas soalan tahun-tahun lepas dari laman web dan menonton video tatabahasa bagi memperkukuh bahagian yang lemah.

Selepas pusingan awal, Hana menyedari bahawa dia telah meremehkan kesukaran pertandingan dan mula belajar dengan lebih bersungguh-sungguh menjelang peringkat serantau.
Apabila Hana meraih keputusan cemerlang di peringkat serantau, dia mula merasai keyakinan tambahan dan terus membuat persediaan secara intensif.
Menurut Hana, cabaran paling besar adalah menentukan sama ada sesuatu ayat betul dari segi tatabahasa biarpun bahasa Inggeris merupakan bahasa utama dalam keluarganya.
“Berbahasa Inggeris sejak kecil, cabarannya lebih besar kerana banyak ayat kelihatan betul tetapi sebenarnya salah.
“Saya perlu berfikir dengan teliti tentang peraturan tatabahasa dan tidak bergantung hanya pada gerak hati.
“Jadi, tekanan yang saya rasa datang daripada keinginan sendiri untuk berjaya, bukan kerana saya sedang berada di pentas dunia,” katanya.
Sebelum ini, Hana pernah memenangi pingat emas dalam Pertandingan Esei Queen’s Commonwealth 2024 dan menyertai CCA debat di sekolah serta menjadi peserta simpanan bagi satu pertandingan debat.
Namun, Hana tidak memberitahu sesiapa bahawa dia menyertai pertandingan HIPPO pada kali ini, menjadikan saat pengumuman kemenangannya satu kejutan buat para rakan dan gurunya.
Selepas pengalaman itu, Hana merancang untuk menyertai lebih banyak pertandingan debat dan menulis dalam bahasa Inggeris pada masa hadapan.
Walaupun belum pasti tentang kerjaya masa depan, Hana menjangkakan ia kemungkinan besar berkaitan dengan Bahasa Inggeris kerana subjek itu merupakan kekuatan utamanya.
“Tatabahasa dan kosa kata memang penting, tetapi bukan keseluruhan komunikasi.
“Bahasa wujud untuk menyampaikan mesej, jadi kita perlu berfikir secara kritikal dan menyesuaikan bahasa mengikut audiens.
“Penutur yang baik ialah mereka yang fleksibel dan tahu bila serta bagaimana menggunakan perkataan dengan tepat,” katanya.
Berbeza dengan Hana yang meraih gelaran juara pada percubaan pertama, Nicole pula berjaya setelah lima kali tampil pada pertandingan tersebut.
Untuk edisi tahun lalu, pelajar berusia 13 tahun tersebut hanya sampai ke peringkat kelayakan di Kuala Lumpur.
Oleh itu pada tahun ini, anak jati Pahang itu fokus pada persediaan, tatabahasa, teknik penulisan dan strategi untuk peringkat antarabangsa.
“Ini adalah percubaan kelima saya dan saya tidak pernah berputus asa untuk cuba lagi saban tahun.
“Kali ini, saya menyemak kertas tahun-tahun sebelumnya dan memperbetulkan kesilapan, mengkaji tatabahasa, teknik penulisan dan komunikasi lisan.
“Sebagai penutur bahasa Inggeris, saya hanya perlu fokus pada butiran kecil dalam bahasa. Cuma cabaran saya adalah pada lisan kerana saya pemalu,” katanya.
Mengimbau kenangan di Itali, Nicole akui merasa teruja dapat bertemu semula dengan beberapa rakan dari edisi serta pusingan pertandingan sebelumnya.
Namun, suasana di Itali yang dipenuhi ramai peserta membuatkan hatinya berdebar dan berasa agak tertekan dengan kesibukan di sekeliling.
Sepanjang detik-detik pertandingan yang menegangkan itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar, Kuantan, Pahang itu menumpukan sepenuhnya pada diri sendiri.
“Penting untuk percaya kepada diri sendiri dan tidak mudah putus asa. Pengalaman ini meningkatkan keyakinan dan kepercayaan saya terhadap kebolehan sendiri.
“Saya juga percaya seorang komunikator bahasa Inggeris yang baik perlu menyampaikan diri dengan jujur dan jelas, bukan sekadar menguasai tatabahasa dan kosa kata,” katanya.
Mengulas lanjut, Nicole merancang menyertai pertandingan bahasa Inggeris pada tahap lebih tinggi tahun depan dan mencuba pelbagai pertandingan lain bagi menguji serta mengasah kemampuannya.
Selain itu, dia juga berhasrat menjadi penerbit muzik teater yang juga merupakan satu bidang yang berkait rapat dengan bahasa Inggeris.
Ia melalui penghayatan kesusasteraan, lakonan dan persembahan, sekali gus menggabungkan bakat dan minatnya dalam bahasa dan seni persembahan.
“Saya bercadang untuk menyertai pertandingan bahasa Inggeris pada tahap yang lebih tinggi tahun depan dan mencuba beberapa pertandingan lain.
“Selain itu, saya juga ingin menjadi penerbit muzik teater. Melalui bidang ini saya boleh menggabungkan minat dan bakat saya melalui kesusasteraan, lakonan dan persembahan,” katanya.
















