TAMPIN – Cadangan untuk membina Muzium Kereta Api Gemas didakwa tidak dapat direalisasikan apabila terdapat ura-ura ia hanya dijadikan sebagai lokasi nostalgia di stesen sistem pengangkutan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri Gemas, Ridzuan Ahmad berkata, pihaknya kecewa apabila hasrat orang ramai untuk mendapatkan pelbagai maklumat mengenai sejarah kereta api bakal terkubur dengan penukaran cadangan itu.
Katanya, muzium itu akan digantikan dengan suasana nostalgia Stesen Kereta Api Lama Gemas.
“Lokasi itu berpotensi menjadi muzium kerana ia terletak di titik pertemuan antara laluan keretapi Pantai Barat dengan laluan Pantai Timur.
“Disebabkan tiada barang pameran, lokasi itu sekadar menjadi lokasi stesen kereta api lama sahaja yang turut menawarkan khidmat sewaan untuk kenduri kahwin,” katanya.
Pada 2022, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembinaan Muzium Keretapi Gemas sedang dilaksanakan secara berperingkat dengan dana sebanyak RM490,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Untuk rekod, stesen yang dibina sejak tahun 1906 itu sudah tidak digunakan sejak 2013 apabila stesen kereta api baharu dibina bersebelahannya.














