fbpx
Peluru berpandu RS-28 Sarmat (Satan II) buatan Russia,, DF-41 (China) dan LGM-35 Sentinel (AS) dipercayai paling berbahaya di dunia seperti disenaraikan portal Interesting Engineering.

Tiga peluru berpandu paling berbahaya di dunia, siapa punya terdahsyat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia moden yang semakin canggih, keupayaan pertahanan sesebuah negara tidak lagi diukur melalui saiz tenteranya. Sebaliknya kini, keupayaan ketenteraan diukur menerusi jarak jangkauan peluru berpandu.

Ketika ini, tiga kuasa besar dunia iaitu Russia, China dan Amerika Syarikat (AS)mendominasi arena peluru berpandu antara benua (ICBM) yang mampu membawa peledak nuklear dalam jarak ribuan kilometer (km).

Antara yang paling menonjol dan digeruni ialah RS-28 Sarmat (Satan II) buatan Russia, DF-41 (China) serta LGM-35 Sentinel (AS) seperti dikeluarkan oleh portal, Interesting Engineering bagi senarai peluru berpandu paling berbahaya atau memusnahkan di dunia.

Ketiga-tiganya bukan sekadar senjata pemusnah besar-besaran, sebaliknya menjadi simbol persaingan geopolitik dan perlumbaan teknologi ketenteraan global.

Menurut kenyataan pihak Russia kepada media antarabangsa, RS-28 Sarmat yang digelar oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai Satan II merupakan peluru berpandu antara benua generasi baharu yang dibangunkan bagi menggantikan model lama R-36M2 Voevoda.

“Ia menjadi kebanggaan utama Moscow dalam memperkukuhkan doktrin ‘keseimbangan ketakutan’ atau Mutually Assured Destruction (MAD).

“Ini bagi memastikan tiada kuasa besar berani melancarkan serangan mula kerana akibatnya pasti memusnahkan kedua-dua belah pihak.

“Satan II memiliki berat pelancaran sekitar 208 tan dan panjang lebih 35 meter. Ia merupakan salah satu peluru berpandu paling besar dan berat pernah dibina.

“Ia mampu membawa hingga 15 kepala peledak nuklear (Multiple Independently Targetable Reentry Vehicles) dengan kuasa letupan setiap satu boleh mencecah beberapa megatan TNT,” katanya.

SATAN II boleh menyerang mana-mana kawasan di dunia termasuk AS.

Tambah kenyataan itu, dengan jarak operasi melebihi 18,000km, Satan II boleh menyerang mana-mana lokasi di dunia termasuk AS melalui laluan Kutub Selatan yang sukar dikesan oleh sistem pertahanan peluru berpandu Barat.

Kehebatan Satan II juga terletak pada kelajuan dan daya manuvernya.

Ia dikatakan mampu terbang pada kelajuan hingga Mach 20 (24,501 km/jam), sekali gus menjadikannya hampir mustahil dipintas oleh pihak musuh.

RUSSIA juga mendakwa bahawa Satan II mampu menghapuskan kawasan seluas Perancis atau Texas, AS hanya dengan satu pelancaran. Dakwaan itu memperlihatkan betapa dahsyatnya kekuatan senjata tersebut.

Sementara itu, Republik Rakyat China memperkukuhkan kedudukan militari globalnya dengan peluru berpandu antara benua Dongfeng-41 (DF-41).

Menurut kenyataan daripada Akademi Teknologi Kenderaan Pelancaran (CALT) China, DF-41 merupakan peluru berpandu darat paling maju dan berkuasa pernah dihasilkan oleh negara itu.

“DF-41 direka dan dibangunkan oleh CALT dan ia mula didedahkan kepada umum sekitar tahun 2019 ketika perbarisan ketenteraan sempena ulang tahun ke-70 penubuhan China.

“Peluru berpandu ini mempunyai jarak jangkauan sehingga 15,000km, menjadikannya antara peluru berpandu paling jauh di dunia, setanding dengan Satan II,” ujar kenyataan itu.

Dengan keupayaan sedemikian, DF-41 mampu melancarkan serangan ke seluruh benua Amerika, Eropah dan Australia dari wilayah China tanpa perlu meninggalkan tanah besar.

Peluru berpandu DF41-Dongfeng menjadi kebanggaan China.

Salah satu kekuatan utama DF-41 adalah reka bentuknya yang mobil, di mana ia boleh dilancarkan di atas kenderaan pelancar beroda (Transporter Erector Launcher) sehingga sukar dikesan atau disasarkan oleh musuh.

Peluru berpandu itu juga boleh dilancarkan dari silo bawah tanah atau kereta api khas, sekali gus menambah fleksibiliti dan elemen kejutan dalam strategi pertahanan China.

“Dari segi muatan, DF-41 boleh membawa 10 hingga 12 kepala peledak nuklear MIRV dengan sistem pemanduan bebas.

“Sistem ini mampu menyerang pelbagai sasaran serentak.

“Setiap kepala peledak boleh mencapai kelajuan hipersonik dan memanipulasi trajektori bagi mengelak sistem pertahanan musuh,” kongsinya.

Walaupun China secara tradisinya mengekalkan dasar no first use (tidak akan menyerang dahulu dengan nuklear), pembangunan DF-41 jelas menunjukkan keazaman Beijing untuk memastikan kedudukannya seimbang dengan AS dan Russia.

Tidak mahu ketinggalan, AS pula memperkenalkan LGM-35 Sentinel iaitu peluru berpandu antara benua generasi baharu.

Ia dibangunkan oleh Northrop Grumman bagi menggantikan ICBM lagenda Minuteman III yang telah berkhidmat sejak tahun 1970-an.

Sentinel dijangka menjadi tunjang utama kepada sistem nuklear darat Amerika Syarikat dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Ia juga merupakan sebahagian daripada program pemodenan nuklear bernilai lebih US$100 bilion (RM470 bilion).

Menurut jurucakap daripada Tentera Udara AS, LGM-35 direka untuk membawa satu atau beberapa kepala peledak nuklear jenis W87-1 dengan kuasa letupan yang jauh lebih tepat dan stabil.

LGM-35 Sentinel boleh dilancarkan dari silo bawah tanah

“Walaupun kuasa letupan individu mungkin lebih kecil berbanding Satan II, namun kelebihan Sentinel terletak pada ketepatan, sistem kawalan digital serta kemampuan untuk diintergrasikan dengan sistem pertahanan serta komunikasi moden.

“Peluru berpandu ini mampu mencapai kelajuan lebih Mach 23 (28,176 km/j) dan memiliki jarak jangkauan lebih 14,000km.

“Selain itu, ia dibina dengan sistem keselamatan siber berlapis bagi mengelak sebarang serangan elektronik atau penggodaman,” katanya.

Ujarnya lagi, Sentinel menggunakan teknologi bahan api pepejal baharu yang lebih efisien dan mudah diselenggara berbanding pesaingnya.

Dengan kemampuan untuk dilancarkan dari silo bawah tanah secara automatik, ia memastikan AS tetap mempunyai keupayaan tindak balas pantas sekiranya berlakunya serangan nuklear mengejut.

Secara asasnya, ketiga-tiga peluru berpandu berkenaan bukan sekadar senjata, sebaliknya menjadi alat diplomasi dan strategi global.

Dalam konteks geopolitik, kewujudan senjata sebegini mencipta keseimbangan kuasa, di mana setiap kuasa besar tahu bahawa sebarang serangan akan dibalas dengan pemusnahan total.

Inilah paradoks dunia moden yang berkisar tentang keamanan menerusi ancaman kehancuran bersama.

Namun, pakar keselamatan antarabangsa memberi amaran bahawa peningkatan ketenteraan boleh mencetuskan perlumbaan senjata nuklear baharu, terutamanya dengan kemunculan teknologi hipersonik, AI dan sistem pertahanan automatik.

Jika tersilap langkah atau berlaku salah tafsir isyarat radar, dunia boleh berdepan bencana yang tidak dapat dibayangkan.

Walaupun kewujudan ketiga-tiga peluru berpandu itu menimbulkan ketakutan, namun ia juga menjadi sebab tiada kuasa besar berani memulakan perang nuklear secara terbuka ketika ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN