DALAM usaha memperkasa komuniti terhadap ilmu sains biologi dan teknologi, sebuah program menarik telah dilaksanakan Institut Sains Biologi (ISB), Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.
Program dinamakan Karnival Saintis Komuniti: Memperkasakan Komuniti Melalui Sains Biologi dan Teknologi itu diadakan di Tanjong Karang, Selangor dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) setempat.
Acara yang berlangsung di Kampung Seri Gambut, Tanjong Karang, khususnya di Dewan Komuniti, Tali Air 2, Ban 3, Sungai Burong, itu menekankan pendekatan saintifik dalam bidang pertanian, sekali gus menjadikan petani sebagai rakan strategik universiti dalam menjamin keterjaminan makanan negara.
Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Saiful Anuar Karsani berkata, karnival dijalankan bertujuan membuka peluang kepada masyarakat, terutama generasi muda untuk memahami, menghayati dan menyemai minat terhadap dunia ilmu yang luas dan sentiasa berkembang.
Ia turut menandakan kesungguhan UM untuk turun padang bersama masyarakat, berkongsi ilmu dan kepakaran, serta mempraktikkan konsep ‘saintis komuniti’ yang menjadi tema utama program.
“Karnival ini menghimpunkan lebih 80 warga UM dari Institut Sains Biologi yang membawa pameran dalam tujuh program utama sains biologi.
“Program-program yang dipamerkan termasuk Bioteknologi, Biokimia, Mikrobiologi dan Genetik Molekular, Bioinformatik, Pengurusan Alam Sekitar, Ekologi dan Biodiversiti serta Sains Pendidikan Biologi,” katanya.
Menurutnya, kolaborasi antara universiti, industri dan komuniti adalah resipi penting dalam memberikan keutamaan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Ujarnya, hanya dengan pendekatan sebegini, satu bentuk model baharu gabungan simbiosis boleh memandu arah tahap kreativiti, hasil berinovatif dan seterusnya impak produktif kepada masyarakat dan negara.
Tambahnya, karnival yang dihadiri lebih 200 penduduk itu turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Komuniti Angkat antara UM dan Kampung Seri Gambut.
Usaha strategik itu bakal menjadikan kampung tersebut sebagai model kerjasama universiti-komuniti dalam bidang sains biologi, teknologi dan pembangunan lestari.

Selain itu, perjanjian persefahaman turut dimeterai antara UM dengan syarikat HS Megah Enterprise dan Carbon Zero Sdn. Bhd. yang masing-masing melibatkan penggunaan teknologi dron dan biochar bagi meningkatkan produktiviti pertanian.
Pengerusi JPKKP Seri Gambut, Karim Abdullah menzahirkan rasa bertuah atas kehadiran UM sekali gus menyatakan bahawa ilmu dan teknologi boleh bergabung dengan pengalaman pengusaha tani untuk melahirkan sektor pertanian yang lebih moden, cekap dan lestari.
Menurutnya, setiap perubahan cara menanam, mengawal perosak, menggunakan baja atau mengurus air sawah di Tanjung Karang sebenarnya berasaskan ilmu sains.
“Kejayaan awal hasil kerjasama ini semakin jelas apabila demonstrasi penggunaan biobaja dari UM digabungkan dengan aplikasi teknologi dron HS Megah Enterprise semasa program karnival berlangsung.
“Dron berteknologi tinggi digunakan untuk menyebarkan biobaja secara lebih tepat dan sekata, sekali gus meningkatkan keberkesanan rawatan tanah dan tanaman.
“Kaedah pertanian persis (precision farming) seperti ini membuktikan bahawa sinergi akademia dan industri amat penting dalam meningkatkan hasil serta daya saing pengusaha tani,” katanya.
Selain demonstrasi, satu forum berkonsep QuadHelix turut dianjurkan, menggabungkan komuniti, universiti, agensi kerajaan dan industri untuk membincangkan cabaran sektor pertanian dan kelestarian alam sekitar.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri yang mewakilkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari iaitu Mohd. Yahya Mat Sahri ketika ucapan perasmiannya menegaskan bahawa sains merupakan kunci kepada pembangunan negeri dan negara.
Mohd. Yahya menyatakan bahawa penerapan sains sebagai tonggak kemajuan adalah penting untuk mencapai teras-teras gagasan Malaysia Madani yang menekankan keberdayaan, ihsan, hormat, inovasi, kepercayaan dan kemakmuran.
“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menekankan bahawa ilmu pengetahuan, inovasi dan penyelidikan saintifik adalah teras pembangunan negeri.
“Karnival saintis komuniti ini membuktikan bahawa pendekatan saintifik bukan hanya milik ahli akademik, tetapi juga menjadi pemangkin perubahan nyata di lapangan pertanian,” katanya.
















