fbpx
Santai memancing malam di belakang inap desa.

Pancing pantai di Teluk Yu, Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

lIMA hari percutian keluarga ke pulau legenda ini banyak masa dihabiskan dengan meronda ke sana-sini. Lebih-lebih lagi, anak bongsu saya sememangnya sangat meminati sejarah, dan pasti lawatan ke muzium sekitar menjadi itenari utama.

Walaupun petang hari pertama saya turun mengilat ikan gerepoh (GT) dengan bot, dan hari kedua seharian bersama keluarga memancing di atas Bot Hijau milik sahabat saya, Guvnor, namun hati masih belum puas selagi tidak cuba menebing di sana.

Selain kelengkapan jigging dan casting, saya turut membawa set shore jigging dan beberapa batang joran telescopic serta multi-pieces untuk pancingan pantai.

Pelan memancing sudah ada, masa pula sangat suntuk apabila siang hari banyak dihabiskan ke sana sini. Balik sahaja ke inap desa, semua orang kepenatan dan terbongkang tidur lesu.

Hari keempat saya membuat keputusan untuk turun juga memancing kerana peralatan sudah dibawa, terasa rugi jika tidak menggunakannya. Cuma shore jigging langsung tidak dapat dicuba walaupun banyak lokasi berpotensi dapat saya perhatikan.

Saiz ikan bebulus yang kami dapat besar-besar belaka.

Setidak-tidaknya pada malam ter­akhir dapat juga melabuhkan umpan di belakang inap desa yang kami sewa.

Nasib baik saya sempat membeli sedikit umpan udang dan beberapa ekor ikan selangat dan kembung.

Di Langkawi, tidak perlu risau kerana umpan biasanya segar-segar belaka.

Homestay Bluewave Sea Out

Kami menginap di Bluewave Sea Out yang terletak di Teluk Yu. Inap desa ini berupa rumah kampung dengan dua bilik berpendingin hawa. Menariknya di beranda belakang rumah terbentang kawasan pantai yang cantik berdekatan dengan jeti nelayan.

Lompat sahaja dari beranda sudah terus masuk ke laut. Jadi, bayangkan betapa seronok dan selesa jika dapat memancing di lokasi tersebut.

Penat boleh berehat di beranda, ada Cafe Aura Laut pula bersebelahan, dan jika panas boleh berehat sebentar di dalam bilik berpendingin hawa.

Oleh kerana pantai ini berteluk, jadi lautnya sentiasa lenang. Dari pemerhatian saya, ketika air surut, airnya tidaklah sedalam mana, dalam lingkungan antara dua hingga empat kaki . Ketika air pasang penuh mungkin akan naik sehingga enam hingga 10 kaki dalam.

Terdapat beting-beting pasir dengan drop-off antara sekaki ke dua kaki dalam membentuk alur dan ini merupakan laluan ikan mencari makanan.

Terdapat juga beberapa lubang lebar seperti kawah besar yang kelihatan berpotensi ketika air pasang.

Ada juga beberapa tompokan karang atau batu dalam jarak 20 hingga 40 meter dari pantai. Lebih dari jarak tersebut tidak dapat saya pastikan struktur dasar kerana perairannya kelihatan dalam.

Akhirnya

Malam terakhir di Langkawi, kami sempat berkunjung ke pasar malam berhampiran, dapatlah juga merasa makanan penduduk tempatan.

Balik ke inap desa masing-masing kekenyangan dan kelihatan seperti malas hendak melakukan apa-apa aktiviti tambahan.

Walaupun penat, namun saya gigihkan juga memasang set pancing. Hampir tengah malam barulah saya dapat melabuhkan umpan.

Saya pula tersilap mengira pertukaran arus, ingatkan air masih naik pasang, rupa-rupanya arus sudah di penghujung pasang. Dalam masa sejam lagi arus akan bertolak surut.

Bagi mencuba potensi pancingan di lokasi, ketiga-tiga set pancing saya hanya dipasang mata kail dan batu ladung saiz kecil bertujuan melihat spesies ikan yang ada di kawasan sekitar.

Baru sahaja umpan dilabuhkan, sekejap sahaja sudah terasa getuan ikan. Joran terus disembat dan tidak lama kemudian seekor ikan bebulus terdampar di pantai.

Boleh tahan saiznya, biasa saya hanya dapat bebulus saiz kecil, ingatkan itu hanya kebetulan, namun tidak lama kemudian naik lagi ikan bebulus saiz kasar. Ikan bebulus di pantai itu betul-betul ramah terhadap umpan udang kopek.

Namun kumpulan bebulus saiz kasar itu menghilang diri sebaik sahaja air bertolak surut. Saya masih menggunakan umpan udang kopek pada dua set pancing, manakala satu set lagi saya tukar kepada mata kail saiz 1 dan perambut 40lb. Umpan pula saya sematkan hirisan ikan selangat.

Pada permulaan surut itu, kumpulan ikan tetanda karang pula yang menjengah, dapatlah kami merasa beberapa ekor.

Seronok memancing hingga me­nerbitkan perasaan hairan kerana tiada langsung umpan kami diambil oleh ikan pengacau seperti mengkerong, duri, sesirat atau ketam sekalipun.

Jika umpan digetu, yang naik pasti bebulus atau tetanda, gelama juga tiada. Tidak dapat saya pastikan sebabnya. Adakah spesies ikan-ikan pengacau ini kurang di lokasi ini atau memang nasib kami baik?

Siakap merah

Air surut laju malam itu, saya merasakan ikan sudah berkurangan, namun saya tersilap. Umpan hirisan selangat saya dirembat ikan hingga joran terpelanting hampir masuk ke laut, ikannya terlucut pula.

Lokasi umpan dilabuhkan itu berkawah, mungkin ada ikan bersaiz kasar berlegar di sana. Umpan yang sama dilontarkan dan sekejap sahaja ia diambil ikan, malangnya lucut sekali lagi.

Tidak berpuas hati, saya tukar mata kail ke saiz yang lebih besar dan pada percubaan seterusnya saya biarkan anak sulung, Daniel menjaga joran.

Satu rentapan kasar berlaku dan Daniel berjaya hook-up ikan tersebut. Alangkah terperanjatnya kami kerana di hujung tali terdamparnya seekor ikan siakap merah.

Sememangnya saya tidak sangka boleh dapat ikan ini hanya di tepi pantai.

Mungkin keadaan geografi berbatu dan berstruktur serta kehadiran sumber makanan berupa ikan-ikan kecil yang banyak menjadikan kawasan ini sebagai habitat ideal kepada ikan-ikan pemangsa.

Jam sudah melepasi pukul 3 pagi, barangan masih belum dikemas lagi kerana awal pagi nanti kami perlu naik feri balik ke Kuala Perlis.

Terus sesi pancingan ditamatkan dan semua hasil tangkapan dilepaskan semula.

Menyedari potensi besar lokasi pantai ini, saya pasti akan singgah lagi berkemungkinan mencuba shore jigging pula nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN