PB sentiasa memberikan perlawanan yang kuat terutamanya jika ia bersaiz kasar.

Apabila pelan A menjadi pelan B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TRIP-TRIP memancing lombong saya sebelum ini lebih kepada teknik mengilat spesies ikan pemangsa seperti peacock bass (PB), toman, haruan dan sebagainya.

Dalam minggu terdekat ini, sahabat saya, Atiq mengajak untuk turun mengilat PB di lombong-lombong sekitar Batu Gajah, Perak. Jadi, set mengilat dan gewang menjadi sandaran saya.

Walaupun merancang untuk turun pada pagi hari lagi, namun disebabkan Atiq ada kewajiban yang perlu ditunaikan, maka pelan asal terpaksa diubah ke petang hari. Saya sendiri agak keberatan kerana kebelakangan ini hujan lebat kerap turun pada waktu petang.

Setelah siap tugasannya, Atiq memaklumkan akan bergerak bersama seorang lagi sahabat saya iaitu Acik, dan kami terus menuju ke lokasi yang terletak lebih kurang 30 minit dari Ipoh.

Sampai sahaja ke lokasi, awan gelap mula berarak ke arah lokasi kami memancing, dan saya segera menurunkan gewang dengan harapan tidak ‘kumpau’ pada petang itu.

Puas saya melempar gewang, langsung tidak kelihatan kelibat PB menyambar gewang yang dihulurkan. Acik yang mencuba di lokasi lain memberitahu di tapak dia mengilat ada ternampak kelibat beberapa ekor PB saiz kecil mengejar gewangnya.

Lantas kami pergi ke sana dan selepas beberapa kali mencuba, kami berjaya menaikkan seekor PB yang cantik saiznya dan dua ekor bersaiz cilik. Selepas itu, suasana menjadi senyap, tiada lagi sambaran, kumpulan PB seolah-olah menghilang entah ke mana.

Roti tamat tempoh
Saya meneruskan sesi mengilat kerana masih mengharap ada lagi PB bersaiz lebih bagak yang sudi.

Semasa ralit melempar dan memainkan gewang, saya lihat Atiq mula meletakkan jorannya dan menunggu ikan.

Seekor tongsan susu yang turut menjadi habuan Acik.

Hairan dengan kelakuannya, saya mendekati Atiq, dan rupa-rupanya dia sedang memancing dasar menggunakan set baitcaster.

Saya bertanya, dari mana dia dapat umpan roti?

Dia beritahu itu adalah roti tamat tempoh yang ingin dibawa untuk bagi ikan makan di taman bersama keluarganya.

Tidak lama selepas itu, seekor rohu berjaya dinaikkan dan saya tanpa membuang masa menukar menggunakan umpan roti tersebut.

Walaupun agak kekok menggunakan set baitcaster untuk memancing dasar, namun saya terpaksa mengubah pelan asal disebabkan PB sudah tidak mahu buka mulut pada gewang yang disuakan.

Tindakan saya ini diikuti oleh Acik, namun dia lebih beruntung kerana kali ini membawa set spinning.

Lontaran pertama Acik membuahkan hasil apabila menaikkan seekor ikan rohu walaupun saiznya tidak besar. Tidak lama selepas itu, giliran saya pula menaikkan seekor ikan tongsan sisik kasar menggunakan set ringan iaitu joran Kuying Teton 3-8lb bersama kekili Daiwa Pixy PX68L.

Walaupun agak kekok menggunakan set baitcaster untuk memancing dasar, namun ikan itu berjaya juga saya naikkan. Tidak lama selepas itu, hujan mula turun dengan lebat dan kami mengambil keputusan untuk pulang.

Sentiasa bertukar teknik memancing mengikut keadaan semasa selalunya dapat mengelak daripada pulang ‘tohong’. Tidak perlu menjadi ‘keras kepala’ dengan satu teknik sahaja untuk meningkatkan kejayaan trip memancing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN