fbpx
MOHD. YUSOFF

Penganjuran Piala Asean FIFA mampu lonjak bola sepak Asia Tenggara – FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penganjuran Piala Asean Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bakal melonjakkan bola sepak di rantau Asia Tenggara ke tahap lebih baik pada masa akan datang.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi menyifatkan penganjuran Piala Asean FIFA sebagai satu langkah bersejarah yang membuka lembaran baharu dalam pembangunan dan penyatuan bola sepak Asean di bawah bumbung FIFA.

“Ia juga akan menjadi platform penting bukan sahaja untuk mempertingkat tahap persaingan pasukan-pasukan Asean, tetapi memperkukuh hubungan antara negara serantau dalam semangat kesukanan dan persahabatan.

“Pada masa sama, ia secara tidak langsung dapat mempertingkat mutu pertandingan memandangkan penganjuran Piala Asean FIFA berlangsung dalam kalendar FIFA.

“Kami percaya dengan sokongan padu semua negara anggota dan kepimpinan FIFA, Piala Asean FIFA akan menjadi simbol kebangkitan bola sepak Asean di pentas dunia,” katanya.

FIFA semalam melancarkan kejohanan Piala Asean FIFA yang akan menghimpunkan semua 11 negara anggota Asean dalam satu pentas bola sepak serantau terbesar di bawah naungan badan induk bola sepak dunia itu.

Presiden FIFA, Gianni Infantino sendiri menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baharu antara FIFA dan Asean yang disaksikan Perdana Menteri merangkap Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kejohanan itu diwujudkan bagi memberi suntikan semangat baharu kepada bola sepak rantau ini, selain menjadi simbol penyatuan negara-negara Asean melalui sukan paling popular di dunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI