KEMAMAN – Kira-kira 300 penduduk di Felda Neram II, di sini berada dalam kebimbangan ekoran kemunculan sekumpulan gajar liar menceroboh perkampungan mereka sejak Jumaat lalu.
Kumpulan haiwan liar terbabit bukan sahaja merosakkan hasil tanaman malah menghampiri penempatan penduduk.
Salah seorang penduduk, Zawiyah Yahya, 59, mendakwa 500 batang pokok pisang dan kelapa diusahanya rosak dikerjakan gajah-gajah liar terbabit.
“Terkejut saya melihat hampir semua tanaman yang diusahakan di kebun musnah.
“Saya amat yakin ia perbuatan kumpulan gajah liar berikutan penemuan tapak kaki dan najis haiwan liar tersebut di kawasan kebun,” katanya di sini semalam.
Katanya, kemusnahan hasil tanaman tersebut amat mengecewakan kerana ia adalah hasil titik peluhnya yang sepatutnya dituai tidak lama lagi.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Hafi Mohd Nor, 30, pula mendakwa, dia tidak tidur lena sejak kemunculan kumpulan gajah berkenaan.
Dakwanya, haiwan liar tersebut berkeliaran terlalu hampiran dengan rumahnya dan jiran-jiran sehingga mengancam keselamatan diri dan keluarga.
“Kami semakin takut untuk keluar pada waktu malam kerana bimbang menjadi mangsa serangan gajah liar berkenaan,” katanya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya sedang melakukan pemantauan di lokasi terlibat.
“Kami akan melakukan kawalan bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.
“Kampung kami terletak 2 kilometer dari hutan simpan berhampiran,” katanya.














