fbpx
Gambar kenangan Mejar Mohd. Fikry Amri bersama Al-Fateh. Sabrina melahirkan anak kembar tiga pada Jumaat lalu.

Ibu Al Fateh ambil cuti dua tahun demi kembar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Kedukaan sepasang suami isteri atas kematian anak sulung mereka tahun lalu seolah terubat apabila dikurniakan zuriat kembar tiga hasil rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) selepas dipantau rapi selama 73 hari di dalam wad Hospital Mela­ka.

Mejar Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 40, berkata, iste­rinya, Sabrina Hakiem Zaini, 40, melahirkan ketiga-tiga kembar itu secara pembedahan pada pukul 9.40 pagi kelmarin.

Katanya, ketiga-tiga anaknya itu mempunyai iras wajah anak sulung mereka Muhammad Al Fateh Amri, 8 bulan, yang maut selepas dihantar ke sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama pada September tahun lalu.

“Terima kasih di atas sokongan moral berterusan daripada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah yang turut menaja rawatan IVF.

“Doktor memaklumkan ibu dan ti­ga anak saya berada dalam keadaan baik. Lebih menggembirakan apabila anak saya lahir pada hari Jumaat yang mulia,” kata ketika dihubungi Kosmo! Ahad.

Sebelum ini, ­Kos­mo! melaporkan Muhammad Al Fateh Amri, anak yang ditunggu selama 13 tahun oleh pasangan itu maut dengan mulutnya disumbat de­ngan botol susu sebelum ditutup de­ngan kain dan ditekup dengan ban­tal hingga lemas.

Menurut Mohd. Fikry Amri, dia ya­­kin bahawa Al Fateh sedang ter­senyum di taman syurga melihat ibu dan bapa­nya ketika ini.

“Hari Jumaat Al Fateh dijemput menghadap penciptanya, Jumaat juga Allah hadirkan pu­teri-puteri adik Al Fateh kepada kami, perancangan Allah adalah yang terbaik,” luahnya.

Ujar Mohd. Fikry Amri, ke­rinduannya sedikit terubat kepada arwah anak sulungnya tetapi menyifatkan kehilangan Al-Fateh tidak akan pernah ada pengganti.

“Bila lihat wajah mereka ada iras panjang dan kurus seperti Al-Fateh, rasa terubat rindu tetapi arwah tidak ada pengganti, ini saya yakin ini adalah ganjaran yang Allah beri,” katanya.

Menurut Mohd. Fikry Amri, dia berhasrat menamakan tiga anak kembarnya dengan nama Mariam Al-Lubna, Mariam Al-Kawla dan Mariam Al-Arwaa sempena tokoh panglima wanita Islam dan simbol kekuatan selain doa agar anak-anaknya membesar sebagai pejuang agama serta umat Islam.

Mengulas perancangan keluarga, beliau memaklumkan isterinya akan mengambil cuti tanpa gaji selama dua tahun bagi menumpukan sepenuh perhatian menjaga tiga bayi sekali gus, sebelum mungkin bersara sepenuhnya jika perlu.

“Kami dah bincang, isteri mungkin berhenti kerja selepas tempoh dua tahun jika masih perlukan komitmen penuh, kerana ini adalah amanah besar.

“Bagi saya anak yang lahir sebagai mengubat dan me­nguatkan hati kami untuk jadi pe­nyambung kasih dan doa buat Al Fateh,” ujarnya.

Katanya, Tunku Azizah sempat menghubunginya sebelum isterinya dibawa masuk ke dewan bersalin untuk memberikan kata-kata semangat dan amanat agar segala urusan kelahiran dipermudahkan serta mendoakan keselamatan ibu serta bayi ketika berada di dewan bersalin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN