NABILA (bukan nama sebenar) tidak pernah bercinta sewaktu di bangku sekolah kerana dunia remajanya hanya dipenuhi buku, peperiksaan dan impian untuk melanjutkan pelajaran.
Jadi, apabila wanita berusia 20 tahun itu bertemu Fikri (bukan nama sebenar) di universiti segalanya terasa baharu.
Bak kata orang, cinta pertama memang lain sikit. Sebab itu, Nabila merasakan dirinya mula berubah perlahan-lahan.
Fikri bukan sekadar teman lelaki biasa. Dia pandai memujuk, mengambil hati dan membuat Nabila terasa istimewa bahkan menghadiahkannya seutas rantai.
Setiap pagi, Fikri menunggu di pintu kolej. Setiap malam menghantar pesanan, ‘jangan lupa tidur’, seolah-olah dunia hanya mereka berdua.
Apabila rakan-rakan menegur sikap Fikri yang dikatakan cemburu keterlaluan, Nabila merasakan mereka sekadar dengki kerana rakan-rakannya tidak mempunyai seseorang yang benar-benar pedulikan mereka.
“Ramai kawan-kawan cakap Fikri ini toksik sebab dia tak benarkan saya bersembang dengan pelajar lelaki lain atau buat aktiviti tidak melibatkan dia.
“Pada saya, itulah tanda lelaki sayang. Dia bukan teman lelaki saya kalau dia tak ada rasa cemburu atau obses dengan saya,” katanya.
Sejak bersama Fikri, Nabila rasa hidupnya sempurna. Setiap kali dia marah atau sedih, Fikri muncul memberi kata-kata manis yang menenangkan.
Dia tidak perasan bagaimana dirinya mula menjauh dari semua orang, sering termenung dan pelajarannya semakin merosot.
Malah, keluarganya juga mula risau apabila Nabila yang dahulunya penuh cita-cita tinggi meluahkan keinginan untuk berhenti belajar dan mengimpikan menjadi suri rumah sahaja sepenuh masa.
Rakan-rakan dan pensyarah turut kecewa kerana Nabila sebelum ini dikenali sebagai pelajar harapan dengan prospek meraih keputusan cemerlang.
Menurut Nabila, ketika itu, dia benar-benar percaya peranan sebagai isteri dan ibu adalah yang terbaik buat dirinya disebabkan Fikri.
“Dalam fikiran saya hanya membayangkan betapa manisnya hidup berpasangan dengan Fikri, iaitu dia bekerja dan saya pula sediakan makan minum di rumah.
“Saya sudah tak fikir tentang harapan emak dan ayah. Saya juga tak fikir sama ada Fikri mampu menjamin masa depan saya kerana dia juga masih bergelar seorang mahasiswa.
“Saya juga sanggup derhaka pada emak dan ayah kerana saya rasa mereka cuma mahu gunakan saya. Mereka seperti ingin mendapat kesenangan jika saya bergaji besar selepas tamat pengajian,” katanya.
Tanpa pengetahuan Nabila, keluarganya pergi mendapatkan khidmat rawatan Islam untuk meneliti keadaannya yang berubah mendadak sejak menjalin hubungan dengan Fikri.
Ustaz tersebut menasihati ibunya supaya memisahkan Nabila daripada rantai yang dipakainya. Hal ini kerana rantai itu dikhuatiri ada kaitan dengan perubahan sikapnya.
Ibunya menggunakan helah sehingga berjaya meyakinkan Nabila untuk membuka rantai perak dengan batu kecil berwarna biru kehijauan pemberian Fikri itu.
Sebulan selepas itu, Nabila berkata, dia berasa kosong dan sangat keliru dengan perasaannya sendiri.
“Tiba-tiba, saya rasa Fikri sangat menjengkelkan terutama sikapnya yang terlalu mengawal dan mengatur hidup saya. Saya mula rindu diri saya yang bercita-cita tinggi dulu.
“Saya juga rasa sayu apabila tengok wajah emak dan ayah saya yang semakin dimamah usia.
“Saya menangis di hadapan mereka kerana telah menghancurkan harapan mereka demi seorang lelaki.
“Saya ambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Fikri. Saya juga mendapatkan nasihat daripada ustaz sebab takut Fikri tak dapat terima kenyataan dan akan sihir saya dengan cara lain pula,” katanya.















