fbpx
Tengku Zafrul bersama Presiden Lula ketika perjanjian MoU di ibu negara hari ini

Malaysia-Brazil meterai MoU kukuh industri semikonduktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

PETALING JAYA – Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva mencipta sejarah baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-Brazil apabila kedua-dua negara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Industri Semikonduktor.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perjanjian itu merupakan langkah strategik penting bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor serantau.

Menurut beliau, kerjasama dengan Brazil bukan sahaja dapat meluaskan pasaran eksport dan mempelbagaikan sumber mineral kritikal, malah mampu memacu aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan bakat bersama antara kedua-dua negara. “Ini adalah perkembangan yang sangat bermakna untuk masa depan industri teknologi tinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, sektor penerbangan komersial turut menjadi tumpuan apabila MITI melalui MIDA dan NAICO komited untuk berbincang dengan Embraer, syarikat aeroangkasa terkemuka Brazil, bagi merealisasikan pelaburan mereka di Malaysia.

Beliau turut memaklumkan bahawa rundingan pusingan pertama Perjanjian Jaminan Pelaburan (Investment Guarantee Agreement, IGA) antara Malaysia dan Brazil dijangka diadakan pada awal tahun 2026.

“IGA ini akan memberi perlindungan dan jaminan lebih kukuh kepada pelabur kedua-dua negara,” jelasnya.

Tambah beliau, MITI akan terus menggandakan usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi sejajar dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS).- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI