fbpx
Anwar ketika bertemu Cyril Ramaphosa semasa lawatan kerja rasmi di Rio, Brazil pada Julai lalu - Foto oleh IHSAN FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Lawatan Presiden Afrika Selatan perkukuh hubungan diplomatik, ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula hari ini hingga 27 Oktober bagi menghadiri Mesyuarat Dua Hala serta Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai Tetamu Pengerusi.

Kementerian Luar berkata, lawatan itu adalah jemputan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta merupakan lawatan rasmi pertama Ramaphosa ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan pada Februari 2018.

Katanya, Ramaphosa akan diraikan dalam satu majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra diikuti dengan mesyuarat dua hala bersama Anwar di Kompleks Seri Perdana, di sini. “Kedua-dua pemimpin dijangka menilai perkembangan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Afrika Selatan serta meneroka peluang untuk memperkukuhkan lagi kerjasama Malaysia-Afrika Selatan dalam bidang perdagangan dan pelaburan selain industri halal dan pertanian.

“Ini termasuk bidang pertahanan; sains, teknologi dan inovasi, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan selain pengangkutan serta pembangunan kapasiti,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, termasuk Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, Presidensi G20 Afrika Selatan 2025, kerjasama dalam BRICS, serta Rakan Dialog Sektoral ASEAN-Afrika Selatan.

Wisma Putra berkata, mereka turut dijangka menegaskan semula komitmen teguh kedua-dua negara terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Pada masa sama, Presiden Ramaphosa akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa oleh Universiti Malaya dalam Majlis Konvokesyen Khas pada 27 Oktober ini.

Ia sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan berwawasan beliau dalam pembangunan negara, komitmen terhadap demokrasi dan hak asasi manusia serta pendirian tegas beliau dalam memperjuangkan kepentingan Negara-Negara Selatan dan hak rakyat Palestin.

“Ramaphosa turut dijemput menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan.

“Beliau juga akan menyampaikan ucapan semasa Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 (EAS) serta menghadiri Majlis Jamuan Gala yang dihoskan oleh Perdana Menteri.

“Belaiu turut dijadualkan menyertai Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) yang dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia,” katanya.

Pada tahun 2024, Afrika Selatan merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di benua Afrika dengan jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara bernilai sebanyak RM7.82 bilion.

Eksport Malaysia ke Afrika Selatan berjumlah RM3.84 bilion, manakala import dari Afrika Selatan ke Malaysia bernilai RM3.98 bilion. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN