KLANG – Suasana penuh adat mengiringi Istiadat Persandingan Diraja antara Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan pasangannya, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini, malam ini.
Istiadat penuh bersejarah itu dimulakan pukul 7.45 malam dengan kehadiran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang berangkat mencemar duli menyaksikan persandingan pengantin diraja itu.
Turut hadir memeriahkan istiadat ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, kerabat diraja serta pegawai kanan kerajaan dan jemputan kehormat lain.
Perarakan masuk pasangan diraja Balairung Seri kira-kira pukul 7.45 malam dengan diiringi dua panglima perang dan kerabat Diraja.
Kedua-dua mempelai diraja kelihatan kacak dengan persalinan diraja berwarna kuning cair dan anggun dengan busana songket.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin kemudiannya berkenan memulakan Istiadat Merenjis kepada pasangan pengantin diraja.
Ia kemudiannya diikuti bonda Tengku Amir Shah, Puan Nurlisa Idris Abdullah disusuli kerabat diraja serta ibu bapa Afzaa Fadini.
Istiadat Persandingan Diraja itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir sebelum diteruskan dengan majlis santapan diraja di Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah.
Istiadat itu sekali gus menjadi simbol penyatuan dua jiwa dalam lipatan sejarah Kesultanan Selangor.
Kosmo! pada 2 Oktober lalu melaporkan Tengku Amir selamat diijabkabulkan dengan Afzaa Fadini dengan sekali lafaz yang disempurnakan Anhar di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah.
Dalam pada itu, pasangan pengantin diraja dijangka mencemar duli menyantuni rakyat jelata dalam Majlis Santunan Kasih Pengantin Diraja bersama Rakyat yang dijadualkan berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 7 November ini.
Program itu dijangka bermula pukul 8 hingga 11 malam. – KOSMO! ONLINE