fbpx
Kes remaja berusia 14 tahun yang menikam pelajar tingkatan empat di tandas sekolah antara kejadian tragis yang mendapat liputan meluas dan perhatian pelbagai pihak.

Perspektif forensik di sebalik duka institusi Pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Muhammad Jefri Mohd. Yusof

Bulan Oktober tahun ini me­ninggalkan jejak mendalam dalam landskap pendidikan negara khususnya buat institusi persekolahan. Dalam tempoh yang singkat hanya memasuki pertengahan bulan, empat insiden tragik melibatkan pelajar dilaporkan secara berturut-turut.

Masing-masing mencetuskan rasa pilu, marah, dan kebimba­ngan. Di sebalik laporan media dan siasatan polis, terdapat dimensi saintifik dan kemanusiaan yang boleh didalami untuk lebih memahami punca, kesan dan pengajaran daripada tragedi ini.

Pada 2 Oktober, seorang pelajar tahun empat ditemui mati di tandas sekolah dengan kesan tekanan pada leher. Kes ini masih dalam siasatan, namun keha­diran tanda fizikal seperti tekanan dan lebam menimbulkan pelbagai kemungkinan.

Pada 10 Oktober, seorang pelajar tahun tiga jadi mangsa cubaan rogol di tandas sekolah melibatkan teman lelaki kepada pengawal keselamatan.

Sehari selepas itu, pada 11 Oktober, masyarakat sekali lagi dikejutkan dengan insiden pelajar tingkatan tiga dirogol bergilir-gilir oleh empat pelajar tingkatan lima di dalam kelas.

Tragedi Oktober ini semakin memuncak pada 14 Oktober apabila seorang pelajar tingkatan empat maut ditikam oleh suspek yang juga pelajar tingkatan dua.

Empat kejadian ini membawa mesej yang sama iaitu sekolah kini bukan sekadar tempat me­nuntut ilmu, tetapi juga cerminan kepada tekanan sosial, ketidakseimbangan emosi dan kerapuhan sistem perlindungan pelajar. Dari perspektif forensik, setiap kes memperlihatkan kepenti­ngan bukti saintifik dalam mencari kebenaran.

Forensik bukan hanya tentang sains dan makmal. Bidang ini berkaitan dengan pemahaman akan manusia dan konteks sosial dalam kalangan masyarakat sekeliling. Di samping institusi keke­luargaan, sekolah juga merupakan persekitaran sosial bagi para pelajar yang sedang membesar.

Mereka memerlukan perhatian dari sudut emosi dan psikologi daripada ibu bapa, keluarga, rakan-rakan dan persekitaran umum. Faktor psikososial seperti prestasi akademik, pengaruh rakan sebaya, ketidakseimbangan keluarga, serta impak media sosial boleh memberi kesan ke atas tingkah laku remaja. Menariknya, pelaku sendiri mungkin pernah menjadi mangsa sama ada buli, pengabaian atau trauma yang tidak pernah dirawat.

Tindakan ganas

Kajian dalam psikologi forensik menunjukkan bahawa remaja yang terdedah kepada persekitaran toksik cenderung bertindak impulsif. Tindakan ganas, buli, dan gangguan seksual bukan muncul secara tiba-tiba, tetapi berkembang hasil normalisasi tingkah laku yang salah.

Terdapat satu teori kriminologi yang dipanggil Teori Pem­belajaran Sosial (Social Learning Theory) mengaitkan tingkah laku seseorang, terutamanya generasi muda yang terbentuk melalui pemerhatian dan pengulangan perbuatan orang di sekelilingnya.

Sebagai contoh, seorang bapa yang selalu mengherdik dan berlaku ganas terhadap si ibu. Hal ini mendorong si anak yang memerhatikan perkara ini untuk ber­anggapan bahawa mengherdik dan memukul merupakan cara untuk mengawal seseorang.

Selain itu, Strain Theory menjelaskan bahawa apabila seseorang tidak mampu memenuhi jangkaan sosial atau mengikut piawai masyarakat, mereka akan memilih keganasan atau jenayah sebagai cara melepaskan amarah.

Bagi anak-anak, strain (tekanan) yang dimaksudkan ini boleh datang daripada faktor-faktor seperti kemiskinan, buli, penolakan, pengabaian, dan kurang keyakinan diri. Jadi, keganasan merupakan jawapan mudah bagi mereka dalam cubaan mengatasi rasa tidak berguna.

Apakah cara yang terbaik dalam membendung keganasan dalam kalangan pelajar sekolah? Konsep asasnya bermula dari rumah. Bimbingan ibu bapa memainkan peranan utama.

Anak yang membesar dalam suasana tegang dan penuh pertengkaran cenderung me­yerap emosi negatif yang akhir­nya diterjemahkan melalui tingkah laku agresif di sekolah.

Prinsip ‘kelakuan baik mendapat ganjaran, manakala tingkah laku yang buruk akan menerima hukuman’ sewajarnya menjadi kebiasaan. Hal ini bertepatan dengan Teori Pelaziman Operan (Operant Conditioning Theory) yang menjelaskan bahawa tingkah laku manusia dibentuk oleh pengalaman langsung melalui ganjaran dan hukuman.

Sekiranya pelajar diajar bahawa setiap tindakan membawa akibat, mereka akan lebih berhati-hati dalam membuat keputusan. Dalam konteks pendidikan dan pembentukan moral, pendekatan ini bukan sekadar bertujuan menghukum, tetapi untuk memperkukuh kawalan diri serta tanggungjawab sosial.

Fenomena seperti ini juga boleh dilihat dalam situasi yang melibatkan kelakuan agresif dalam kalangan kanak-kanak, contohnya apabila adik memukul abang. Pada awalnya, perbuatan ini mungkin dianggap sebagai satu gurauan atau perkara yang lucu oleh ibu bapa, terutamanya jika mereka beranggapan bahawa si adik hanya menunjukkan kelakuan ‘comel’ atau biasa. Ibu bapa mungkin tertawa melihat kejadian tersebut, tanpa menyedari bahawa perbuatan memukul sebenarnya menyebabkan kesakitan dan emosi yang dipendam.

Namun, lebih mengejutkan apabila adik tersebut tidak dimarahi atau ditegur walaupun si abang jelas merasakan kesakitan. Dalam keadaan ini, si adik tidak mendapat sebarang pengajaran tentang batasan tingkah laku atau akibat daripada perbuatannya. Sebaliknya, si adik mungkin menafsirkan bahawa ibu bapa sebenarnya suka akan kelakuan agresif tersebut. Akibatnya, si adik terus me­lakukan perbuatan yang sama tanpa rasa bersalah.

Fungsi ibu bapa

Ibu bapa memegang peranan yang sangat penting dalam membentuk cara anak-anak mengendalikan emosi mereka. Salah satu aspek utama dalam mendidik anak adalah melalui validasi emosi mereka iaitu mengiktiraf dan menerima emosi mereka, di samping memberi ruang bagi anak untuk merasa dan mengungkapkan perasaan mereka tanpa rasa dihakimi atau ditolak.

Dalam Teori Pembelajaran Sosial Interaksi Simbolik (Symbolic Interactionism), tingkah laku individu dibentuk melalui inte­raksi sosial dan perasaan yang diterima dalam konteks hubungan sosial. Apabila anak merasakan bahawa perasaan mereka diambil peduli oleh ibu bapa, mereka belajar untuk memahami emosi diri serta orang lain.

Dalam hal ini, ibu bapa juga perlu mengajarkan anak-anak cara menyelesaikan masalah secara positif tanpa bergantung pada kekerasan. Teori Pengurusan Diri (Self-Regulation Theory) menggariskan bahawa individu yang mampu mengawal emosi dan tingkah laku mereka lebih berkemungkinan menangani cabaran hidup dengan lebih sihat.

Rumah berperanan sebagai bilik darjah pertama dalam mendidik anak-anak mengenai empati dan penyelesaian konflik tanpa kekerasan. Teori Kecerdasan Emosi (Emotional Intelligence Theory) juga menekankan bahawa keupayaan seseorang untuk menguruskan emosi termasuk mengenali perasaan sendiri dan orang lain, serta menggunakan emosi untuk memotivasi tindakan yang positif ialah kunci dalam mengelakkan keganasan.

Dengan mengiktiraf emosi dan mengajar anak-anak cara menyelesaikan konflik secara rasional dan penuh empati, ibu bapa membantu mereka membentuk asas hubungan yang lebih sihat dengan orang lain. Inilah yang akan melahirkan generasi yang dapat menyelesaikan masalah secara damai.

Dengan memberi perhatian kepada pengiktirafan emosi dan kemahiran komunikasi, ibu bapa berperanan untuk membentuk generasi yang lebih berkemahiran tinggi dalam penyelesaian konflik.
Dari sudut sains forensik, pencegahan awal ini amat pen­ting kerana majoriti kes jenayah remaja yang berlaku di sekolah dan komuniti berpunca daripada corak tingkah laku yang dibiarkan tanpa bimbingan sejak awal.

Kajian forensik tingkah laku menunjukkan pelaku jenayah muda sering datang daripada latar keluarga yang tidak stabil, kekurangan perhatian emosi, dan pendedahan kepada bentuk disiplin yang tidak konsisten.

Dari sudut perundangan, cabaran besar timbul apabila pelaku ialah pelajar bawah umur. Sistem kehakiman perlu mencari keseimbangan antara keadilan terhadap mangsa dan peluang pemulihan kepada pelaku muda.

Hukuman semata-mata mungkin tidak menyelesaikan masalah akar kerana pendekatan pemulihan dan pendidikan moral lebih berkesan dalam jangka panjang.

Akhir sekali, tragedi Oktober kali ini bukan sekadar kisah hitam dalam sejarah pendidikan, tetapi satu panggilan kecemasan untuk cepat bertindak. Di sebalik angka dan laporan, ada nyawa yang hilang, trauma yang kekal, dan tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.

Dr. Muhammad Jefri Mohd. Yusof ialah Pensyarah Kanan, Program Sains Forensik, Faculty of Health & Life Sciences, Management and Science University (MSU)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN