POKOK SENA – Tiada siapa menyangka seorang anak muda tempatan yang baru berusia 22 tahun telah mencipta fenomena luar biasa di negara Jepun hasil bakat luar biasanya sebagai penebar roti canai.
Tidak cukup dengan itu, Muhammad Muiz Ruzaini juga berjaya mempopularkan roti canai sebagai antara makanan terbaik dunia sehingga namanya menjadi sorotan media di Negara Matahari Terbit itu.
Menurut anak jati Pokok Sena itu, kehadirannya di Jepun adalah untuk menyertai Ekspo Osaka 2025 selama enam bulan bermula April lalu.
“Minggu pertama saya hanya hasilkan 300 keping sahaja, tetapi kemudian jadi 1,000 hingga 3,000 keping sehari. Orang Jepun memang suka makan roti canai,” katanya ketika ditemui di premis perniagaan milik keluarganya, Roti Canai Terbang di sini kelmarin.
Apa yang lebih mengujakan, anak muda itu berjaya menebar roti canai yang dijual pada harga RM50 sekeping di Jepun sehingga bakatnya menjadi sebutan di sepanjang ekspo tersebut.
“Saya gembira bukan sahaja dapat menyediakan makanan kesukaan rakyat Malaysia kepada negara luar, tetapi menunjukkan bakat saya. Semua pengunjung di Pavilion Malaysia yang rata-rata orang Jepun sangat teruja.
“Terkejut juga kerana ada satu ketika bila saya berjalan-jalan di bandar, orang mengenali saya dan mahu berswafoto,” katanya.
Kata Muhammad Muiz, dia gembira apabila terpilih menyertai ekspo itu yang membolehkannya mempromosikan keunikan makanan dan budaya Malaysia.
“Ekspo ini berlangsung 13 April hingga 13 Oktober lepas dan saya pulang ke tanah air pada 15 Oktober lalu. Ini pengalaman yang hebat terutama apabila makanan dari Malaysia dinobatkan pada tangga atas rating makanan pada ekspo tersebut,” katanya.
Menurutnya, pada minggu pertama dia dipadankan dengan seorang penebar roti canai dari Penaga, Pulau Pinang sebelum tiga lagi dibawa ke pavilion tersebut untuk menampung permintaan daripada pengunjung ekspo.
Muhammad Muiz berkata, kenangan manis lain apabila dia menerima kata-kata semangat dari Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang turut menyaksikan aksinya pada ekspo tersebut.
“Tun datang ekspo pada 27 Mei bersama Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali. Mereka tengok saya beraksi dan makan roti canai di ekspo,” katanya.
Menurutnya, minat dalam bidang itu bermula sejak dibangku sekolah apabila dia sering membantu perniagaan roti canai milik ibu bapanya, Ruzaini Darus, 59, dan Amidah Harkun, 57.
“Pada usia 16 tahun saya sering berulang alik ke Pulau Pinang ketika cuti hujung untuk berguru dengan seorang kenalan sehingga mahir menebar roti canai,” katanya yang sudah empat kali meraih juara dalam pertandingan menebar roti canai.















