fbpx
Mesin Basuh Manusia Prototaip Spa Matik atau Spa Matic Prototype Human Washing Machine itu dicipta khas dengan sistem cucian mikrobuih telah diperkenalkan di Ekspo Osaka 2025, Jepun dan dicuba Gabenor Osaka Yoshimura sendiri.

Mesin mandian manusia pertama dunia, masuk terus bersih, segar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAYANGKAN bagaimana rasanya apabila berpeluang membersihkan diri seperti sedang menikmati urutan spa lembut, tanpa perlu berbuat apa-apa selain duduk di dalam kapsul futuristik setiap hari di rumah.

Pengalaman itu yang dijanjikan oleh mesin mandian automatik pertama dunia yang dibangunkan oleh syarikat terkenal dalam industri peralatan bilik mandi dan teknologi rawatan air berinovasi tinggi, Science Co. Ltd, berasal dari Jepun.

Inovasi masa depan itu mencuri perhatian apabila ia dipamerkan di acara Ekspo Osaka 2025 yang berlangsung selama tujuh bulan bermula 13 April hingga 13 Oktober lalu.

Menggunakan sistem kawalan kecerdasan buatan (AI), mesin yang diberi nama Mesin Basuh Manusia Prototaip Spa Matik (SMPHWM) atau Spa Matic Prototype Human Washing Machine itu dicipta khas menggunakan sistem cucian mikrobuih.

Untuk membangunkan mesin protoip itu, Science Co. Ltd mengambil masa kajian selama tiga tahun.

Fungsinya bukan sekadar memberi pengalaman urutan lembut persis rawatan spa mewah, tetapi ia juga mampu menyingkirkan kotoran tanpa menjejaskan kulit dengan mudah.

Teknologi spa pintarnya diinspirasikan daripada konsep keselesaan dan penjagaan diri masa depan di mana pengguna hanya perlu duduk di dalam kapsul lutsinar dan seluruh proses pembersihan serta urusan dilakukan secara automatik.

Selain menjimatkan masa, SMPHWM juga mengutamakan kebersihan, releksasi dan kecekapan air yang menjadikan ia selaras dengan matlamat Ekspo Osaka 2025 iaitu mengetengahkan teknologi yang menjamin kelestarian masa depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Science Co. Ltd, Mikio Shimizu, pod mandian manusia atau ‘mesin basuh manusia’ pertama dunia itu dicipta untuk membuktikan inovasi teknologi mampu memberikan pengalaman luar biasa dalam kehidupan seharian.

Katanya, kecanggihan mesin terbabit mampu menjadi titik awal kepada pembangunan perkakasan pintar masa depan.

“Projek ini mencerminkan impian kami untuk mewujudkan masa depan di mana aktiviti mandian menjadi satu pengalaman penyembuhan sepenuhnya yang disokong oleh teknologi.

“Pengguna duduk (hanya seorang dibenarkan dalam tempoh satu-satu masa) atau baring di dalam ruang kapsul dan semua proses pembersihan, urutan serta pengeringan (ringan) dijalankan secara automatik oleh sistem AI.

“Dibangunkan dalam bentuk kapsul, dindingnya dilengkapi nozel air mikro, salur udara panas dan penderia pintar (sensor AI) untuk mengawal tekanan air, suhu serta tempoh mandian,” katanya kepada Asahi Shimbun.

Mengulas mengenai bagaimana mesin tersebut berfungsi, Shimizu memberitahu SMPHWM memiliki bentuk kapsul lutsinar automatik yang menyerupai tab mandi futuristik.

Ia terbahagi kepada beberapa proses iaitu pertama melibatkan pembersihan menggunakan mikrobuih yang merupakan sistem teknologi utama Science Co. Ltd.

“Mikrobuih ialah gelembung udara halus (sekitar 1/100 saiz pori kulit) yang menembusi liang-liang dan menyingkirkan kotoran serta minyak tanpa perlu sabun kuat.

“Buih-buih halus itu juga membantu meningkatkan peredaran darah dan melembapkan kulit. Proses ini berlangsung selama beberapa minit dan dikawal oleh AI yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna,” ujarnya.

Kemudian pengguna akan melalu fasa seterusnya iaitu urutan dan relaksasi automatik. Dalam proses ini sistem akan mengaktifkan pancutan air mikro dan aliran udara lembut pada titik-titik tubuh tertentu.

Alat sensor akan mengesan kedudukan badan bagi memastikan pancuran air dan tekanan udara disesuaikan sekali gus memberikan efek simulasi urutan spa untuk melegakan otot dan memberi rasa relaks.

“Tubuh akan dibilas dengan air bersih (suhu suam) untuk menyingkirkan sisa mikrobuih, manakala sistem pengeringan udara diaktifkan melalui ventilasi kecil di sekeliling kapsul.

“Udara dikawal supaya tidak terlalu panas atau kering bagi menjadikan proses ini lembut, selesa serta tidak menyakiti pengguna,” katanya.

Sementara itu, Gabenor Osaka, Hirofumi Yoshimura turut berpeluang mencuba mesin itu yang dipamerkan di acara Ekspo Osaka 2025.

Gabenor Osaka, Yoshimura sendiri mencuba mesin mandian tersebut yang diperkenalkan di Ekspo Osaka 2025 di Jepun baru-baru ini.

Teruja dengan teknologi baharu itu, Yoshimura memuji usaha Science Co. Ltd. untuk membangunkan mesin berkaitan kehidupan dan kesihatan demi kebaikan masyarakat pada masa depan.

“Mesin ini bukan saja berfungsi untuk membersihkan badan, tetapi juga minda kerana di dalamnya ada paparan video dan muzik mengikut keadaan mental dan fizikal yang dimainkan berdasarkan data daripada penderia denyutan jantung pengguna.

“Saya berasa seperti sedang berehat sambil melakukan meditasi dalam masa yang sama. Seluruh badan berasa bersih apabila air akan mengisi kawasan kaki terlebih dahulu, kemudian pancuran mandian bermula dan dalam masa sama visual santai dipaparkan dan muzik dimainkan,” jelasnya.

Skrin (kalis air) video dipasang pada bahagian dalam kapsul di hadapan tempat duduk pengguna yang direka supaya memaparkan visual menenangkan seperti alam semula jadi, gelombang air atau langit senja semasa proses mandian berlangsung.

Sementara sistem audionya pula memainkan muzik lembut seperti bunyi ombak, air terjun atau muzik relaksasi yang ditempatkan dalam dinding kapsul menggunakan pembesar suara kalis air bagi menghasilkan bunyi secara sekeliling (surround sound).

Meskipun masih dalam fasa pembangunan prototaip, mesin tersebut dipamerkan untuk mendapatkan reaksi khalayak sekali gus melakukan demonstrasi umum tentang gabungan fungsi teknologi mikrobuih dan automasi.

“Buat masa ini mesin berkenaan dibangunkan sebagai paparan inovasi masa depan untuk Ekspo Osaka 2025, bukan produk pengguna yang akan dijual di pasaran.

“Kami mahu menunjukkan bagaimana teknologi mikrobuih dan automasi boleh digabungkan untuk meningkatkan kebersihan dan relaksasi manusia,” kata Shimizu dalam kenyataan rasmi.
Science Co. Ltd bagaimanapun tidak menolak untuk memasarkan mesin tersebut untuk penggunaan di rumah nanti.

“Mesin ini sesuai untuk membantu golongan warga emas, pesakit OKU atau kronik mahupun mereka yang memerlukan penjagaan khas (kerana boleh mencuci dan mengurut badan tanpa bantuan orang lain).

“Namun, versi sebegini masih jauh daripada realiti kerana mesin tersebut perlu memiliki saiz besar (memerlukan ruang), melibatkan kos tinggi dan memerlukan sistem keselamatan canggih untuk digunakan secara harian,” katanya.

Di Jepun sendiri, budaya mandi atau dipanggil ofuro mempunyai makna mendalam dan dianggap sebagai ritual pembersihan fizikal dan spiritual.

Maka, penggabungan amalan tradisi dengan teknologi moden menjadikan SMPHWM bukan sekadar alat pembersihan, tetapi satu manifestasi evolusi budaya Jepun daripada tradisional kepada futuristik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN