fbpx
BERMULA dengan Matinya Seorang Patriot (1984), Eman Manan kini antara legenda seni tanah air yang menjadi idola pelakon generasi baharu.

‘Saya akan kecewa kalau kerja saya tidak ditonton’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEBIH empat dekad berkelana sebagai anak seni, kredibiliti Eman Manan dalam dunia lakonan ternyata tiada tandingan.

Muncul dalam apa sahaja karya, teater, drama mahupun filem, pasti berbakul-bakul pujian diberikan penonton kepada aktor berusia 67 tahun itu.

Di sebalik kemasyhuran, siapa tahu pemilik nama penuh Abd. Manan Embong itu masih terlalu membumi. Beliau memang selektif, namun untuk mendongak ke langit kononnya berada dalam kelompok pelakon hebat, itu bukan Eman Manan.

Itu yang dikongsinya saat meleraikan alasan mengambil masa lama untuk bersetuju terlibat dalam filem 3 Hajat arahan Zul Huzaimy.

“Saya sentiasa berasakan bukan pelakon yang bagus. Sebenarnya rasa itu adalah perkara yang baik kerana membuatkan kemahuan dan untuk menjadi pelakon lebih baik sentiasa ada.

“Bagi sebuah filem, saya melihat peranan yang sebegitu besar dan perlu membuat satu penilaian yang betul.

“Saya akan kecewa kalau kerja saya tidak ditonton. Jadi, untuk menyiapkan satu wadah yang sedap, menyelerakan, supaya tetamu datang makan dengan puas, saya mesti ‘meramuankannya’ dengan bahan yang betul,” katanya kepada HibGlam.

Melakonkan watak Awang iaitu bapa kepada Taufiq lakonan Amerul Affendi dalam 3 Hajat, beliau bersetuju menerima tawaran berkenaan dek keyakinan tinggi terhadap kredibiliti Zul yang juga bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam penghasilan sesebuah karya.

“Apabila ada generasi baru yang nak buat karya tempatan, saya rasa boleh membantu dia.

“Walaupun cerita ini mengenai kelompok masyarakat yang kecil sahaja, tetapi jarang orang nak mengulas kehidupan manusia-manusia kecil ini.

“Padahal kisah kehidupan manusia kecil ini lebih menarik untuk dikongsi, diselami terutama rasa rindu dan jiwa kesepian mereka,” jelasnya.

Jarang muncul dalam drama dan filem, Eman berkata skrip yang bagus adalah kunci utama untuk menambat hatinya.

Elemen tersebut menjadi keutamaannya kerana percaya mampu menghasilkan sebuah naskhah luar biasa, sekali gus menarik lebih ramai orang ke pawagam.

Baginya, skrip yang bagus akan tetap menghasilkan sebuah naskhah hebat meskipun berada dalam tangan pengarah kurang berpengalaman.

“Ada orang kampung datang jumpa saya dan beritahu, dia ada cerita yang bagus tetapi belum tentu boleh diangkat menjadi sebuah filem dan orang nak tonton di pawagam.

“Saya melihat bahawa penulisan skrip itu adalah ilmu yang perlu dipelajari, di dalamnya mesti ada graf secara terperinci.

“Banyak yang perlu diambil kira penulis skrip sebab kalau kurang elemen tertentu, tak akan mampu mencengkam emosi dan penonton pun tak boleh tahan selama dua jam dalam panggung,” ujarnya.

Tambah Eman, filem sememangnya wajib dihasilkan berlandaskan penulisan skrip berkualiti kerana mahu penonton rasa berbaloi melaburkan wang membeli tiket.

“Kalau drama boleh tengok di rumah sambil ke dapur sekejap bancuh kopi, boleh sambung tengok bila-bila masa.

“Manakala filem, kita kena ‘kurung’ penonton dengan jalan cerita yang bagus supaya tidak keluar pawagam.

“Kalau mereka keluar dengan ekspresi dan mood yang sepatutnya, bermakna skrip itu berjaya,” tuturnya.

Selain Eman dan Amerul, 3 Hajat turut dibintangi Zul Huzaimi sendiri, Shah Iskandar dan Iman Aneesa.

Naskhah tersebut berkisarkan Awang iaitu bekas banduan yang menghidapi penyakit kronik dan hanya mahu menunaikan tiga hajat terakhir hidupnya bersama anak tunggalnya, Taufiq.

Tidak semudah mematahkan pensil, hubungan dua beranak itu penuh konflik dan masing-masing hidup dibayangi kisah silam yang tidak padam dalam ingatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI