MASIH segar di ingatan Eddy Fazly Abdul Aziz, 38, saat tangannya menyentuh sekeping kad Pokemon pada tahun 2019.
Jantungnya berdebar dan matanya bersinar seolah kembali ke usia 13 tahun pada 2000.
Bau kad dan bunyi plastik yang dibuka membangkitkan kenangan membeli dan mengumpul kad Pokemon ketika di bangku sekolah menengah.
Selepas lebih 10 tahun menjual koleksi lamanya kerana masuk asrama sebuah sekolah di Selangor ketika tingkatan 4, perasaan itu tetap sama.
Detik ‘comeback’ itulah yang mendorongnya memulakan saluran YouTube dan aktif di media sosial, menampilkan bukaan pek Pokemon, pengalaman hobi dan vlog acara.
“Saya memang peminat siri animasi Pokemon dan mula main kad Pokemon apabila diperkenalkan di Malaysia sekitar tahun 2000 dahulu.
“Saya mulakan hobi ini dengan beli starter deck dan kemudian kawan saya belanja saya booster pack.
“Waktu itu, harga starter deck lebih kurang RM20 hingga RM30, manakala booster pack biasanya RM5 hingga RM10 seunit,” katanya kepada CitaRasa.
Kad Pokemon diperkenalkan di Jepun pada 20 Oktober 1996. Siri pertama yang diedarkan secara antarabangsa ialah Base Set, mula dijual di Amerika Syarikat (AS) pada Januari 1999 dan di Malaysia sekitar 2000.
Base Set mengandungi kad popular seperti Charizard, Blastoise, Venusaur dan Pikachu, dengan tahap biasa (Common), kurang biasa (Uncommon), jarang (Rare) dan holo jarang (Holo Rare).
Pada masa itu, kad Pokemon dibeli melalui kedai mainan, kedai buku komik dan pasar raya besar.

Starter deck mengandungi 60 kad lengkap dengan kad Pokemon, kad trainer, kad tenaga dan panduan cara bermain, manakala booster pack mengandungi sekitar 10 kad rawak.
Kad jarang seperti Charizard holo biasanya dijual berasingan atau ditukar dengan rakan. Aktiviti pertukaran kad-kad di sekolah dan komuniti menjadi popular ketika itu, manakala acara khas dan pameran Pokemon membolehkan pemain beli kad eksklusif dan bertemu komuniti.
Bagaimanapun, populariti permainan kad menurun sedikit antara 2006 dan 2015 kerana kemunculan aminasi atau permainan video baharu, tetapi pengumpul lama mula menyimpan kad jarang yang kini bernilai tinggi kerana bersifat nostalgik.
Sejak 2016, permintaan terhadap kad lama meningkat semula, terutama Base Set dan kad holo jarang, dengan jual beli dalam talian memudahkan transaksi global.
Kad Pokemon kini menjadi pelaburan alternatif bernilai tinggi dan komuniti baharu muncul melalui media sosial.
Namun bagi Eddy, walaupun telah mengumpul 300 hingga 400 kad sejak 2019 dengan anggaran nilai lebih RM50,000, dia tidak mahu menjadikannya sebagai pelaburan.
“Walaupun kad Pokemon memiliki potensi untuk jadi pelaburan yang tinggi sampai jutaan ringgit, tapi saya memang beli atas dasar sentimental value semata-mata.
“Oleh itu, saya sebenarnya tidak kira pun nilai kad saya itu. Saya juga beli kad tanpa mengira tahap kualitinya tinggi atau rendah,” katanya.
Eddy mempunyai minat khusus terhadap enam Pokemon iaitu Charizard, Gyarados, Nidoking, Scizor, Dragapult dan Machamp.

Kad paling berharga dalam koleksinya adalah First Edition Charizard yang kini boleh mencapai nilai jutaan ringgit jika berada dalam kondisi bagus.
Lebih menunjukkan kecintaannya terhadap hobi tersebut, lelaki yang merupakan seorang arkitek itu pernah mendapatkan tandatangan pelukis Pokemon, Mitsuhiro Arita pada kad.
Menurut Eddy, kini kad Pokemon di Malaysia diperoleh melalui beberapa cara, termasuk membeli booster pack di kedai anime (ada antaranya dijual sehingga ribuan ringgit), membeli secara dalam talian, menghadiri acara atau melalui kawan di Jepun untuk mengelakkan cukai yang tinggi.
“Saya pernah berkongsi tentang hobi ini di ML Studio pada tahun 2020 dengan tujuan untuk semarakkan lagi minat orang ramai terhadap hobi ini.
“Saya juga pernah bertemu Mitsuhiro di satu acara di Malaysia. Saya pernah bertugas luar di AS dan saya ambil kesempatan untuk beli kad di sana.
“Sejujurnya, hobi ini sebenarnya menghidupkan semula ‘inner child’ saya,” katanya yang akan mengunjungi Trading Card Game Kuala Lumpur Convention 2025 di Royale Chulan Kuala Lumpur pada 31 Oktober nanti.
Sementara itu, kisah berbeza buat Lau Soong Huey yang memulakan koleksinya bukan atas dasar nostalgia kerana dia tidak membesar sebagai peminat animasi Pokemon. Soong Huey, 34, mula menceburi hobi ini selepas menonton video di YouTube yang menampilkan personaliti media sosial, Logan Paul, membuka kotak Pokemon bernilai tinggi sekitar 2020 hingga 2021.
“Dahulu saya tak begitu minat Pokemon sebab nampak terlalu comel, tapi pandangan saya berubah bila mula nampak nilai dan seni pada setiap kad.
“Nilai kad juga makin meningkat dari masa ke masa. Selain seronok mencari dan mengumpul kad lama, saya juga tertarik dengan ilustrasi serta seni unik pada kad yang sukar ditemui sekarang.
“Dalam masa sama, terdapat juga aspek perniagaan yang menarik untuk diterokai,” katanya.

Untuk menilai kualiti kad, pengumpul biasanya menghantarnya kepada Professional Sports Authenticator (PSA) di AS dengan bantuan khidmat pihak ketiga seperti GradedGem dan Ludkins Collectables. Penilaian dilakukan berdasarkan empat kriteria utama iaitu penjajaran cetakan, keadaan permukaan, ketajaman sudut dan keutuhan tepi.
Kad gred PSA 1 berada dalam keadaan teruk dengan kerosakan besar, manakala PSA 10 menandakan kad hampir sempurna tanpa sebarang kecacatan ketara. Kad PSA 10 (Gem Mint) berada dalam keadaan hampir sempurna boleh capai nilai sehingga 100 kali ganda lebih tinggi berbanding PSA 1.
Sebagai contoh, bagi Charizard First Edition (Base Set), kad dengan gred PSA 1 pernah dijual sekitar AS$1,000 hingga AS$2,000 (RM4,700 hingga RM9,400), manakala gred PSA 10 boleh mencecah lebih AS$300,000 (anggaran RM1.4 juta).
Berkongsi mengenai nilai keseluruhan kadnya, Soong Huey berkata, kad Gengar PSA 10 miliknya merupakan antara yang memberi kepuasan besar kepadanya, manakala kad Uyama Pikachu pula dianggap sangat unik dan bernilai tinggi.
Dia turut menganggarkan nilai keseluruhan koleksi peribadinya mencecah setengah juta ringgit.
Soong Huey turut berkongsi pengalaman membeli sekeping kad yang disangkanya akan memperoleh gred PSA 9, namun selepas dinilai semula, kad tersebut mendapat gred PSA 10.
Perbezaan satu gred itu menyebabkan nilainya melonjak hampir tiga kali ganda, daripada sekitar RM6,400 kepada RM18,000.
“Saya pernah beli satu kad dan ingatkan grednya cuma 9, jadi saya jual semula tanpa hantar untuk dinilai. Rupanya bila pembeli baharu itu hantar ke PSA, kad itu dapat gred 10 dan masa itu memang rasa menyesal sebab nilainya jauh lebih tinggi daripada harga saya jual,” katanya.
Kongsinya, antara cabaran terbesar yang dihadapinya dalam hobi ini ialah mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan serta memastikan setiap kad yang dibeli adalah asli.
Dalam satu insiden, dia pernah kehilangan kad bernilai tinggi semasa proses penghantaran yang dianggarkan bernilai antara RM20,000 hingga RM30,000.
“Cabaran paling besar dalam hobi ni ialah nak elak kena tipu dan pastikan setiap kad dibeli betul-betul asli. Tapi dalam masa sama, seronok sebab dapat jumpa ramai pengumpul dari pelbagai negara. Komuniti ini memang terbuka dan mudah didekati,” katanya.
















