Di tengah hiruk-pikuk bandar Johor Bahru, terselit sebuah restoran kecil yang membawa cita rasa Itali dalam setiap suapan.
Spazzo Artisanal Fresh Pasta atau ringkasnya Spazzo Pasta, lahir daripada minat mendalam seorang anak tempatan terhadap dunia kulinari.
“Alhamdulillah, idea untuk membuka Spazzo tercetus daripada minat saya terhadap masakan Barat, khususnya masakan Itali,” ujar Shakirin Roslan, 37, pemilik Spazzo Pasta yang kini menjadi tumpuan ramai penggemar juadah dari Eropah itu.
Bagi Shakirin, Spazzo Pasta bukan sekadar restoran, tetapi satu destinasi gastronomi yang ingin memperkenalkan pengalaman menikmati pasta segar sebenar.
Ujarnya kepada CitaRasa, kesemua jenis pasta yang digunakan di premis itu dibuat segar setiap hari.
“Kami lihat konsep pasta segar masih jarang diketengahkan di pasaran tempatan, terutama dalam kalangan penggemar juadah pasta yang halal.
“Jadi kami mahu membawa sesuatu yang lebih autentik, namun masih dekat dengan cita rasa masyarakat kita,” katanya.
Seleksi pasta yang dihasilkan Spazzo Pasta termasuk campanelle, mafaldine, creste di gallo dan radiatori, dengan menggunakan mesin khas yang diimport dari Itali.

Ujarnya lagi, dia memilih pasta segar kerana tekstur dan rasanya jauh lebih asli dan organik berbanding pasta kering.
“Ia juga senang dimasak dalam tempoh masa yang singkat dan bagi membolehkan sos meresap dengan sempurna serta menghasilkan pengalaman menikmati pasta seperti di Itali,” katanya.
Berkongsi tentang juadah paling digemari pelanggannya, Shakirin berkata, slow cook beef ragu cukup memikat selera pengunjung.
Ia merupakan resipi klasik dari Itali yang menggunakan daging yang diperap dengan rempah ratus istimewa lalu dimasak perlahan (selama 24 jam) dengan menggunakan teknik moden, sebelum dicampur dengan sos tomato.
“Selain itu, smoked duck carbonara, roasted chicken green curry dan smoked salmon tomato alfredo turut menjadi pilihan ramai.
“Kesemua hidangan ini direka dengan sentuhan tersendiri mempunyai keseimbangan elemen cita rasa tempatan menjadikannya unik dan digemari pelanggan,” katanya.

Shakirin berkata dia secara peribadinya amat menggemari pasta berbentuk unik seperti mafaldine dan radiatori yang digabungkan dengan sos slow cook beef ragu.
Baginya, tekstur berombak pada pasta mafaldine dan bentuk berlapis lapis pada radiotari memang ‘menangkap’ pada sos bagi setiap suapan rasa.
Dengan harga antara RM20 hingga RM40, Spazzo membuktikan bahawa makanan berkualiti tidak semestinya mahal.
“Matlamat kami bukan sekadar menjual makanan, tapi memperkenalkan seni pasta segar yang halal, berjiwa tempatan dan berkualiti antarabangsa,” katanya.














