KUALA LUMPUR – Seorang murid perempuan berusia 13 tahun dari sebuah institusi pendidikan agama di ibu negara dipercayai menjadi mangsa buli apabila dia didakwa ditutup mata dan disumbat makanan ke dalam mulut.
Mendedahkan perkara tersebut, ibu mangsa berkata, anak sulungnya itu sering mengadu menjadi mangsa buli pelajar lain di sekolah malah pernah dipatahkan cermin mata oleh murid 10 tahun.
“Baru sekejap anak masuk sana (institusi pendidikan agama) dia dah alami macam-macam kesengsaraan. Niat saya masukkan dia ke sana untuk alami ilmu agama memandangkan saya seorang mualaf.
“Tak sangka, dalam tempoh yang pendek, anak sampai masuk ke ICU (Unit Rawatan Rapi). Saya tak pasti sejauh mana dia dibuli sebab sampai sekarang tiada (suspek) yang mengaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut wanita itu, anaknya dimasukkan ke ICU Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 8 Oktober lalu selepas dimaklumkan oleh seorang ustazah yang juga warden asrama.
“Ustazah kata anak mengadu sakit dada sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Batu Muda untuk rawatan.
“Saya berada di Yayasan Hasanah menghadiri bengkel ketika menerima panggilan daripada ustazah memaklumkan anak tidak sihat. Selepas pemeriksaan, anak saya dirujuk ke HKL dan dimasukkan ke ICU,” katanya.
Ibu kepada dua anak itu berkata, anak sulungnya yang mempunyai masalah jantung sejak kecil, tidak pernah mengalami sebarang komplikasi serius sejak beberapa tahun lalu sehinggalah insiden terbabit berlaku.
“Saya agak ralat apabila pihak institusi cuba kaitkan keadaan anak saya dengan masalah jantung semata-mata. Kalau tidak ada faktor yang mencetuskan, mustahil tiba-tiba dia jadi begitu. Saya yakin ada sesuatu yang berlaku di asrama.
“Kali terakhir anak masuk hospital adalah ketika dia empat tahun, iaitu kali pertama anak disahkan alami penyakit tersebut. Selama saya jaga anak, tak pernah jadi apa-apa, atau masalah apa-apa berkaitan kesihatannya. Saya perlukan laporan yang tulus daripada pihak institusi,” katanya.
Wanita itu turut mendedahkan, antara aduan yang dibuat oleh anaknya ialah mengenai cermin mata remaja tersebut dipijak hingga patah oleh pelajar lain ketika hari sukan serta kejadian tolak-menolak dan ejekan oleh beberapa rakan di asrama.
“Selepas aduan itu, pihak institusi hanya pindahkan anak ke dorm lain bersama pelajar lebih muda, kononnya untuk elak gangguan. Tapi buli tetap berlaku,” ujarnya.
Lebih mengejutkan, katanya, dua hari sebelum kejadian anak dimasukkan ke hospital, remaja itu dikasari oleh sekumpulan pelajar di tandas.
“anak ditarik, matanya ditutup, mulut disumbat makanan dan pernah juga punggungnya diseluk oleh pelajar lain. Satu lagi, ketika sedang dalam rawatan di HKL, pihak hospital menunjukkan kepada saya terdapat tulisan ‘gi (pergi) mampus’ di tangan Aisyah yang ditulis menggunakan pen marker berwarna biru,” katanya.
Menurutnya, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 9 Oktober lalu selepas diminta oleh pihak hospital bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk pemeriksaan pakar wanita terhadap anaknya.
“Sekarang saya cuma mahu keadilan untuk anak saya. Banyak perkara berlaku dalam tempoh singkat, tapi pihak asrama dan sekolah seperti saling menolak tanggungjawab.
“Ketika ini saya dah buat keputusan untuk keluarkan anak saya di institusi tersebut. Sejak keluar hospital pada Sabtu lalu, dia bersama sama dan mahu anak saya sembuh, tapi pada masa sama, saya tak mahu pelaku bebas begitu sahaja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE