fbpx
FAISAL

Kebangitan Faisal Halim tak mengejutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PRESTASI memuncak Faisal Halim bersama Selangor FC dan Harimau Malaya bukanlah perkara yang mengejutkan terutama selepas insiden hitam yang hampir membunuh kariernya selepas menjadi mangsa simbahan asid tahun lalu.

Bekas pemain skuad kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin mengakui Faisal yang mesra dengan panggilan Mickey wajar dijadikan pemain contoh kerana sifat kentalnya di atas padang.

“Saya lihat Faisal seorang pemain yang begitu semangat kerana bukan mudah untuk kembali menemui prestasi terbaik selepas apa yang berlaku.

“Namun, dia sahut cabaran itu dan kita perlu puji sikap dia apabila dapat pamerkan kualiti permainan yang bagus ketika bertemu Laos,” kata Indra yang juga pernah mewakili Selangor pada tahun 2008.

Pemain berusia 28 tahun itu berjaya menjaringkan dua gol ketika menentang Laos dalam dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 di tempat lawan dan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Apa yang dipamerkan oleh pemain kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu adalah susulan prestasi konsisten ditampilkan bersama Gergasi Merah apabila meledak lima gol musim ini.

Lebih manis, impak cemerlang Faisal turut mendapat liputan media antarabangsa, The Sun yang menyifatkan peningkatan bekas pemain Terengganu FC itu cukup dramatik selepas apa yang berlaku sebelum ini.

Sebagai rekod, Faisal telah menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada Mei tahun lalu sehingga disahkan melecur tahap empat sebelum menjalani pembedahan dan dibenarkan kembali beraksi di atas padang semula pada Ogos.

Kapten Selangor itu dijangka memainkan peranan penting buat Gergasi Merah pada aksi Piala FA menentang Negeri Sembilan FC malam ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI