fbpx
GAMBAR HIASAN

Dua pegawai bank didakwa terima suapan lebih RM107,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dua pegawai bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 23 pertuduhan rasuah berjumlah RM107,000 kerana membantu memproses pinjaman peribadi melebihi had kelayakan.

Tertuduh, Syed Mohd. Muhaimin Syed Mohd. Mashrof, 42, dan Zayme Zanee Othman, 43, yang kini digantung tugas mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Syed Mohd. Muhaimin yang ketika kejadian bertugas sebagai Ketua Unit Pembiayaan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) Cawangan Metro Prima, Kepong didakwa atas 14 pertuduhan menerima suapan dalam beberapa transaksi deposit tunai berjumlah RM94,440 daripada seorang individu.

Transaksi membabitkan RM4,500 hingga RM10,000 itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Metro Prima, Kepong di sini di antara 4 April 2023 dan 9 Disember 2024.

Rasuah tersebut adalah sebagai upah kerana membantu memproses permohonan pinjaman peribadi pelanggan sebuah syarikat kewangan di Bank Rakyat secara serentak dengan pinjaman lain di beberapa institusi kewangan sehingga menyebabkan pelanggan terbabit memperoleh pembiayaan melebihi had kelayakan sebenar.

Sementara itu, Zayme yang bertugas sebagai Ketua Unit Pembiayaan Bank Rakyat Cawangan Serdang Raya didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM12,600 daripada individu berbeza di antara 8 September 2020 dan 16 Mei 2024.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Kompleks Perbadanan Putrajaya, melibatkan transaksi pindahan atas talian di antara RM500 hingga RM6,000 sebagai upah memproses pinjaman pelanggan syarikat sama.

Kesemua pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Arik Zakri Abd. Kadir dan Ahmad Kamal Abu Bakar.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM25,000 terhadap Syed Mohd Muhaimin dan RM15,000 terhadap Zayme beserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan serta tidak mengganggu saksi.

Peguam bela dalam rayuan masing-masing memohon jaminan diringankan atas alasan anak guam bukan risiko melarikan diri, mempunyai tanggungan keluarga serta berpendapatan sederhana.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan seperti dicadangkan pendakwaan dengan seorang penjamin warganegara bagi setiap tertuduh.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 November.

Pada Januari lalu, media melaporkan lebih 4,000 penjawat awam menjadi mangsa sindiket rasuah dan pengubahan wang haram yang didalangi pegawai beberapa institusi kewangan tempatan.

Bahagian Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM sebelum itu melancarkan Op Sky, hasil kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), yang membawa kepada serbuan di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat sekitar Lembah Klang, serta penahanan 12 individu bagi membantu siasatan.

Ini merupakan pendakwaan pertama di bawah Op Sky, satu operasi yang dijalankan SPRM bagi membongkar kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan pegawai bank yang bersekongkol dengan sebuah syarikat pelaburan dalam memproses pinjaman pelanggan secara tidak sah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI