KEMAMAN – Perjalanan dua lelaki ke tempat kerja berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhadapan sebuah kilang besi keluli di Teluk Kalong, di sini, hari ini.
Dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer (KM) 145, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di sini pada pukul 8 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu Shamsuddin Yusof, 39, dan Mohd. Alis Ismail, 36, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa bahagian badan.
Difahamkan sewaktu kejadian, Shamsuddin yang merupakan kakitangan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kerteh di sini.
Mohd. Alis pula dikatakan juga dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kilang besi keluli berhampiran.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi Shamsuddin dikatakan gagal mengelak lalu bertembung dengan motosikal dinaiki Mohd. Alis yang sedang membelok untuk memasuki ke kilang besi terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli yang dihubungi mengesahkan kejadian dan kedua-dua mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE