PETALING JAYA – “Burnout zaman sekarang bukan sebab kerja sangat, tapi sebab terpaksa pura-pura okey setiap hari.”
Itu antara hantaran Public Health (PHM) di Threads, menegaskan burnout atau lesu upaya termasuk memaksa diri untuk kelihatan positif di tempat kerja dan media sosial.
“Di tempat kerja kena ceria, online (media sosial) kena positif. Walaupun dalam hati, bateri (tenaga) dah habis. Kalau semua rasa berat, berhenti sebentar.
“Tak perlu kuat setiap masa kerana kadang yang paling berani ialah orang yang mengaku dia penat dan mula jaga diri,” ujarnya.
Menjengah ke ruang komen, ramai turut meluahkan rasa kesal terpaksa menghadapi semua perkara dengan positif sehingga menanggung tekanan berat.
“Setiap hari saya kata penat, tapi orang lain hanya mempertikaikan apa yang dibuat sampai penat. Sehingga orang berkata ‘tak cukup iman’,” kata Ajla.
“Untuk suri rumah, menangis saja paling berkesan kerana tanggungjawab kita (suri rumah) besar dan takkan pernah habis terutamanya berkaitan anak. Daripada marah anak, lebih baik menangis sendiri,” komen @Anise_plantpott. – KOSMO! ONLINE