fbpx
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

‘Dia masuk kelas bawa pisau, kami takut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Suspek kes bunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun didakwa masuk ke sebuah kelas sambil memegang senjata tajam dengan kesan seperti darah pada baju selepas kejadian di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini hari ini.

Seorang pelajar tingkatan satu yang enggan dikenali berkata, bagaimanapun suspek tidak mencederakan pelajar lain di dalam kelas berkenaan.

“Dia hanya masuk kelas kami sambil bawa pisau tetapi dia tak acu atau ugut kami. Pelajar itu hanya diam sahaja. Dia masuk kelas kami sekejap saja sebelum dia keluar dan saya tak tahu dia pergi mana selepas itu.

“Kami memang takut dan berdebar-debar ketika itu dan saya juga masih rasa trauma. Saya tidak mengenali dia (suspek), saya cuma tahu dia pelajar kelas peralihan saja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pelajar mendakwa, terdengar suspek berbisik kepada rakannya dengan mengatakan ‘you see later, what happen’ (awak lihat nanti, apa yang akan berlaku) ketika mereka sedang berkumpul sebelum masuk ke kelas.

Dakwanya, ketika itu secara kebetulan dia berada di belakang suspek namun menyatakan tidak mengenali dan berkawan dengan remaja lelaki terbabit.

“Kami juga ada nampak pelajar itu (suspek) ada bawa senjata,” dakwanya.

Seorang lagi pelajar berkata, dia terdengar suara jeritan pelajar perempuan di tandas aras bawah dari kelasnya di tingkat tiga sebelum melihat seorang pelajar berlari turun ke bawah.

“Saya lihat ada budak lelaki berlari seperti mahu turun ke bawah (dipercayai untuk membantu). Pada mulanya saya ingatkan ada pelajar kena marah dengan cikgu,” jelasnya.

Dalam kejadian pukul 9.10 pagi itu, mangsa ditemui maut di kawasan tandas dengan kecederaan akibat beberapa kesan tikaman pada badan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek berusia 14 tahun itu telah ditahan dan dua senjata tajam dirampas di lokasi kejadian.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN