PETALING JAYA – Orang ramai di sekitar Selangor dinasihatkan agar tidak panik atau cemas sekiranya melihat kehadiran anggota tentera asing, pergerakan kenderaan serta konvoi aset ketenteraan bermula hari ini hingga tamat eksesais.
Markas Angkatan Bersama (MK AB) dalam kenyataan berkata, situasi itu berikutan pelaksanaan Eksesais Aman Youyi 2025 antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan People’s Liberation Army (PLA), China yang akan diadakan dari 15 hingga 23 Oktober ini.
“Eksesais yang diadakan setiap dua tahun sekali bertujuan untuk meningkatkan kebolehoperasian bersama antara ATM dan PLA, memperkukuh hubungan ketenteraan dua hala serta mempertingkat kesiagaan dalam melaksanakan operasi kemanusiaan dan keselamatan maritim di rantau ini,” kata kenyataan itu.
Latihan ketenteraan itu akan dijalankan di beberapa lokasi sekitar Selangor termasuk Klang, Subang, Puchong serta perairan Selat Melaka. – KOSMO! ONLINE