KOTA BHARU – Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan sebuah bot mengibarkan bendera Israel semasa program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza di Sungai Kelantan, di sini kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan dijalankan meskipun perbuatan itu sekadar gimik dan lakonan semula yang dikaitkan dengan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Menurutnya, sebarang lambang kebangsaan tanpa kelulusan seperti bendera Israel merupakan satu kesalahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.
“Pertubuhan yang mahu membuat persembahan dinasihatkan supaya tidak mengibarkan bendera Israel dalam sebarang bentuk protes meskipun dengan niat mengecam kekejaman rejim tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Yusoff berkata, tindakan itu bagi menggelakkan salah anggap sekali gus mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat. Katanya, ia cukup sekadar tulisan seperti ‘Kapal Israel’ tanpa perlu mengibarkan bendera.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, kecoh di media sosial apabila tular satu video memaparkan sekumpulan individu melakukan gimik solidariti Palestin dengan mengibarkan bendera Israel.
Menerusi video itu, sebuah bot dilihat membuat gimik dengan berlakon sebagai tentera Israel sambil mengibarkan lima helai bendera rejim itu yang dipacak di atas bot berkenaan.
Pengarah Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza, Mohd. Khairul Hafiz Hassan berkata, kibaran bendera itu bertujuan untuk menunjukkan tindakan ganas yang telah dilakukan oleh tentera Zionis semasa menyerang sukarelawan GSF baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE