JOHOR BAHRU – Keterujaan seorang remaja untuk mengambil motosikal yang dibeli hasil titik peluh sendiri tidak kesampaian apabila dia maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 56, Lebuh Raya Senai-Desaru, Kota Tinggi semalam.
Menurut Abdul Razaki Ab Rashid, 60, adiknya, arwah Muhammad Abdul Khalid, 19, baru diterima bekerja sebagai pembantu pasang besi perancah (scaffolder) di Rapid Pengerang, Kota Tinggi.
Katanya, dia dimaklumkan ketika kejadian remaja itu dalam perjalanan hendak mengambil motosikal yang baru dibelinya.
“Petang semalam, saya terima panggilan daripada majikan adik yang memaklumkan Abdul Khalid terlibat dalam kemalangan bersama tiga rakannya.
“Saya ingat kemalangan biasa, tetapi kejadian itu meragut tiga nyawa termasuk adik saya. Majikan beritahu mereka berempat (mangsa) menaiki kereta dalam perjalanan untuk mengambil motosikal yang baru dibeli adik saya.
“Motosikal jenis apa saya tidak pasti, di mana nak pergi ambil (motosikal) juga saya tiada maklumat itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad Abdul Khalid merupakan anak ke-15 daripada 16 beradik. dan baru menamatkan latihan praktikal di Rapid Pengerang sebelum ditawarkan kerja di syarikat sama.
Katanya, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, namun teruja kerana mendapat pekerjaan walaupun belum menghabiskan pengajian di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) cawangan Bachok, Kelantan.
“Dia teruja dapat merasa duit hasil titik peluh sendiri dan beli motosikal, namun apakan daya bila jadi gini (kematian), tak sempat nak konvokesyen,” katanya.
Abdul Razaki berkata, pihaknya menyerahkan siasatan kepada polis untuk menyiasat mengenai kemalangan tersebut dan akan mendapatkan pembelaan atas kematian adiknya.
Jenazah Abdul Khalid akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Penambang, Kota Bharu selepas selesai urusan bedah siasat. – KOSMO! ONLINE