SHAH ALAM – Tindakan seorang remaja lelaki menggunakan motosikal ibunya untuk melakukan aksi berbahaya di Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) berdekatan Plaza Tol Bukit Raja di sini, memakan diri apabila ditahan polis awal pagi tadi.
Remaja berusia 15 tahun yang masih bersekolah itu mengambil motosikal berkenaan tanpa pengetahuan sebelum pergi ke lokasi bersama beberapa rakannya.
Dia mendakwa, pada awalnya sekadar mahu menyaksikan lumba haram di lokasi itu, namun terpengaruh untuk turut melakukan aksi berbahaya.
“Deruman enjin motosikal yang bising dan sorakan rakan-rakan membuatkan saya teruja sehingga terlupa risiko bakal dihadapi.
“Saya amat menyesalinya dan takut dimarahi ibu selepas tahu saya ditahan,” katanya.
Tambah remaja itu, dia sudah beberapa kali datang untuk menonton perlumbaan tanpa pengetahuan keluarganya sebelum ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, laluan berkenaan sememangnya menjadi tumpuan penunggang motosikal terutama golongan remaja yang gemar melakukan aksi berbahaya pada malam minggu. – KOSMO! ONLINE