GEORGE TOWN – Seorang wanita warga emas terpaksa menahan kesakitan apabila kaki kanannya tersepit pada celah tongkat sebuah motosikal yang diparkir di Penang Court 1, Jelutong pagi tadi.
Mangsa berusia 61 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian pergelangan kaki dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 7.30 pagi tadi.
Menurutnya, operasi membantu mengeluarkan kaki tersepit melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak melakukan kerja-kerja penyelamatan mengeluarkan kaki mangsa dengan menggunakan ‘bolt cutter’.
“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian buku lali dan diberikan rawatan awal oleh anggota Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang dengan menaiki jentera unit terbabit,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan bagi menerima rawatan susulan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.01 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE