KUALA LUMPUR – Sehingga September 2025, lebih 50,000 panggilan telah diterima oleh Talian Kasih 15999, yang menjadi platform utama bagi mereka yang memerlukan tempat untuk meluahkan perasaan, mendapatkan kaunseling, atau sekadar didengari.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah itu membuktikan semakin ramai rakyat sedar akan kepentingan mendapatkan sokongan emosi dan kaunseling dalam menghadapi tekanan hidup.
“Ya, kami di KPWKM sedar bahawa kesejahteraan emosi sama penting dengan kesejahteraan fizikal. Sama seperti kita berlari pagi tadi untuk menjaga kesihatan badan, kita juga perlu berlari ke arah kesejahteraan minda dan jiwa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Larian Kasih Fun Run KPWKM di Dataran DBKL, di sini, hari ini.
Nancy berkata, kempen ‘Awak OK Tak?’ yang dilancarkan kementerian itu bertujuan menggalakkan masyarakat bertanya khabar antara satu sama lain serta menjadi pendengar yang baik.
Tambahnya, KPWKM bersama rakan strategik akan meneruskan usaha kempen itu melalui pemasangan poster, pelekat dan penganjuran aktiviti komuniti di seluruh negara supaya mesej ‘Awak OK Tak?’ terus hidup selepas program itu.
“Talian Kasih 15999 beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan sentiasa bersedia menyantuni mereka yang memerlukan bantuan sama ada untuk kaunseling, perlindungan, atau sokongan sosial,” katanya.
Nancy menyeru masyarakat supaya menjadikan semangat kempen itu sebagai titik mula untuk lebih mengambil berat terhadap orang sekeliling. – KOSMO! ONLINE