PETALING JAYA – Kakak pendaki wanita yang hilang Jaslinda Saludin, 49, meluah kesedihan keluarga berhubung pelbagai andaian, pendapat dan hukuman segelintir pengguna media sosial terhadap ujian menimpa mereka.
Wanita itu menerusi hantaran TikTok @Minjd74 memuat naik gambar bersama Jaslinda serta luahannya terhadap kata-kata yang melukakan hati mereka sekeluarganya.
“Selepas segala yang keluarga Min lalui kebelakangan ini, Min benar-benar tersedar betapa kejamnya dunia internet. Orang begitu mudah menghukum, membuat andaian dan membentuk pendapat tanpa mengetahui keseluruhan cerita.
“Tanpa sedar, setiap kata yang ditulis itu melukai kami yang sedang berjuang menahan sakit apabila membaca setiap bibit komen,” katanya pada hantaran malam tadi.
Wanita itu turut menegur sikap empati manusia yang sering kali dilupakan dalam memberikan sesuatu pendapat.
“Kita hidup dalam dunia di mana pendapat disebarkan sekelip mata, tetapi empati sering dilupakan. Pengalaman ni mengajar Min bahawa kebaikan itu tidak memerlukan apa-apa.
“Belas kasihan itu sangat berharga dan memahami sepatutnya datang sebelum menghukum kerana di sebalik setiap cerita, ada hati yang sedang terluka,” katanya.
Dia turut meminta maaf bagi pihak Jaslinda sekiranya adiknya pernah melukakan hati mana-mana pihak selain berterima kasih kepada mereka yang menitipkan sentiasa menitipkan doa.
“Maaf jika adik Min ada atau pernah melukakan hati kalian. Hanya Allah saja dapat membalas jasa mereka yang tidak putus-putus berdoa dan masih berusaha dalam pencarian adik Min, Jaslinda Saludin. Terima kasih,” katanya. – KOSMO! ONLINE














