fbpx
Poster yang dikongsi oleh Public Health Malaysia (PHM) di laman Facebooknya.

‘Kenapa aku tak rasa gembira bila tahu mengandung lagi?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Berita kehamilan sering kali diraikan dengan penuh kegembiraan, namun bagi segelintir wanita, penampakan ‘dua garis’ pada alat ujian kehamilan boleh menjadi detik yang cukup menyesakkan dada dan mengundang tangisan hiba.

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM), isu sensitif mengenai kesihatan mental ibu mengandung dibangkitkan bagi memberi kesedaran bahawa tidak semua wanita mampu tersenyum saat mengetahui diri mereka bakal menimang cahaya mata lagi.

Menurut hantaran tersebut, perasaan takut dan keliru itu bukanlah bermakna seseorang ibu itu tidak bersyukur atau membenci zuriat sendiri, sebaliknya ia merupakan refleksi kepada keletihan fizikal serta mental yang melampau.

“Ada ibu yang berita dua garis itu datang bersama tangan menggigil, dada sempit dan air mata jatuh diam-diam dalam bilik air. Bukan sebab dia ibu yang jahat, tapi mungkin dia cuma terlalu penat.

“Badan belum betul-betul pulih, luka bersalin masih terasa dan tidur pula masih belum cukup sejak kelahiran sebelum ini.

“Malah urusan kewangan serta hubungan suami isteri juga mungkin sedang tunggang-langgang,” tulis hantaran berkenaan.

PHM turut menegaskan bahawa masyarakat perlu berhenti ‘meromantikkan’ setiap fasa kehamilan sehingga menutup ruang bagi golongan ibu untuk mengakui bahawa mereka sebenarnya sedang ketakutan.

Selain itu, ada juga pengguna yang turut berkongsi pengalaman sama berada dalam situasi tersebut.

“Masa saya mengandungkan anak keempat, saya rasa benci sangat sebab terpaksa suntik cair darah setiap hari akibat masalah paru-paru. Saya mengamuk dan menangis, tapi akhirnya saya reda bila melihat dia lahir walaupun kini disahkan autisme,” komen Noraiqha.

Dalam pada itu, pengguna turut menekankan kepentingan perancangan keluarga dan sokongan padu daripada suami bagi memastikan kestabilan emosi ibu sentiasa terjaga.

“Belajar perancangan keluarga dan jarakkan kelahiran sekurang-kurangnya dua tahun. Amanah yang ada sekarang pun banyak cabarannya, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga mental ibu dan anak-anak,” komen Aniza pula.

Para ibu dinasihatkan agar tidak memendam perasaan tersebut sendirian dan segera mencari individu yang dipercayai atau pakar perubatan untuk meluahkan bebanan perasaan sebelum ia melarat menjadi kemurungan yang lebih serius. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN