RAUB – Aksi mengejar sejauh hampir 100 kilometer melibatkan kenderaan polis dan kereta dinaiki lima individu berakhir apabila kereta itu terbabas di hadapan Balai Polis Dong, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu, dua lelaki tempatan dan tiga wanita warga Indonesia ditahan selepas kereta Proton Preve yang mereka naiki melanggar tiang lampu isyarat dan sebuah kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd. Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian bermula apabila anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Gua Musang mengesan kereta itu yang dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tanah Putih, Gua Musang, Kelantan.
“Bagaimanapun, pemandu kereta enggan berhenti apabila diarahkan dan memecut menuju ke arah Raub secara berbahaya sebelum terbabas di hadapan Balai Polis Dong,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati tiga wanita Indonesia yang menaiki kenderaan itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Turut ditemui sebanyak 34 biji pil disyaki yaba dan satu peket syabu.
Pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kereta tersebut adalah palsu. Dua lelaki itu dipercayai ‘transporter’ dan menerima upah untuk membawa warga asing dari Kelantan ke Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE