KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 buah kenderaan dipercayai terlibat dalam kegiatan prebet sapu dikenakan tindakan sitaan oleh Jabatan PengangkutanJalan (JPJ) Kuala Lumpur.
Kesemua kenderaan itu ditahan dalam Operasi Fokus (Prebet Sapu) yang dijalankan bermula pukul 10 pagi di sekitar Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Sultan Ismail serta kawasan tumpuan lain di ibu negara, semalam.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, lima daripada kenderaan itu dipandu warga asing dari Bangladesh, Yemen, India dan Sudan, manakala bakinya dipandu individu tempatan.
Menurutnya, kesemua kenderaan itu ditahan atas kesalahan salah guna lesen kenderaan motor (LKM), beroperasi tanpa lesen pengendali (KPA) dan tiada lesen memandu.
“Ketika ditahan, seramai 35 penumpang dari pelbagai negara termasuk China, Kanada, Pakistan, Bangladesh, India, Palestin, dan Iraq didapati sedang menggunakan perkhidmatan prebet sapu ini untuk perjalanan ke lapangan terbang atau destinasi pelancongan lain.
“Ada antara mereka yang membayar pakej sehingga RM2,100 untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka, yang merangkumi penginapan dan pengangkutan yang diuruskan oleh ejen pelancongan,” katanya ketika ditemui operasi selesai dijalankan di Depoh Sita JPJ WPKL, semalam.
Hamidi berkata, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 26 notis saman kepada pemandu dan pemilik kenderaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
“Kita dapati taktik mereka adalah menunggu di kawasan hotel, terutama pada waktu puncak ketika orang ramai mendaftar keluar dari hotel iaitu sekitar 12 tengah hari,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hamidi menegaskan, pemilik berdaftar bertanggungjawab ke atas kenderaan dan tindakan akan diambil sekiranya mereka membenarkan warga asing memandu tanpa lesen untuk tujuan komersial.
“JPJ Kuala Lumpur amat komited dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya.
“Pemantauan dan penguatkuasaan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan semua pengguna dan memelihara integriti sistem pengangkutan negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE