fbpx
Keadaan motosikal mangsa selepas merempuh seekor lembu melintas jalan di Kilometer 4.5, Jalan Pasir Puteh-Telosan dekat Kampung Jeram, Pasir Puteh tengah malam tadi. Foto PDRM

Juruwang stesen minyak maut motosikal rempuh lembu lintas jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Perjalanan pulang seorang juruwang sebuah stesen minyak dari tempat kerjanya bertukar tragedi apabila motosikal yang dia tunggang merempuh seekor lembu melintas jalan di Kilometer 4.5, Jalan Pasir Puteh – Telosan dekat Kampung Jeram di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah malam itu, mangsa yang merupakan lelaki berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian muka.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Bandar Pasir Puteh menghala ke Telosan.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, seekor lembu yang berkeliaran dipercayai melintas jalan di laluan motosikal mangsa.

“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum motosikal tersebut merempuh lembu tersebut.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian muka meninggal dunia di lokasi kejadian manakala lembu tersebut masih hidup,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Zaizul Rizal memberitahu, Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI