fbpx
Saifuddin Nasution.

Skandal terbesar abad ini apa? – Saifuddin Nasution

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas Ahli Parlimen pembangkang kerana menyifatkan isu tujuh pemain warisan Harimau Malaya dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai skandal terbesar abad ini.

Menurut beliau, isu yang timbul berkenaan perkara tersebut adalah antara FIFA dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung status pemain warisan, sedangkan proses kewarganegaraan tujuh pemain itu telah dilakukan mengikut lunas perundangan yang sah di negara ini.

“Bunyi gerun, tapi meriam kapur. Perkara Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibuat main. Skandal terbesar abad ini apa? Bagaimana kita proses (kewarganegaraan) saya dah jelaskan.

“Akta beri kuasa kepada Menteri Dalam Negeri, saya dan Menteri Dalam Negeri sebelumnya untuk guna pakai perkara 20(1)(e) untuk beri pengecualian bagi syarat pemastautin. Jadi itu saya guna pakai untuk memberikannya. Bila tertib ini semua, (maka) selesai.

“Soal statut FIFA, soal pemain warisan dan kelayakan itu soal FIFA dan FAM. FIFA kata maklumat diberi sebagai palsu. FAM kata ini maklumat yang pemain beri. Itu mereka selesaikan. Daripada sudut
(kewarganegaraan) Perlembagaan Persekutuan sangat jelas,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) apakah kerajaan bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu tersebut kerana ia merupakan skandal terbesar abad ini melibatkan pasukan bola sepak Malaysia dan agensi kerajaan.

Terdahulu, Saifuddin Nasution berkata, pemberian kewarganegaraan Malaysia bukan hanya kepada pemain bola sepak, malah ia pernah diberikan kepada beberapa atlet sukan lain.

Kata beliau, antaranya adalah atlet gimnastik, atlet jalan kaki, atlet menembak, pemain bola
keranjang, jurulatih badminton dan banyak lagi.

“Ada juga kita berikan (kewarganegaraan) kepada ahli sains, doktor, jurutera dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ini semua kita beri mengikut jalur 19 (Perkara 19) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution menjelaskan, beliau menggunakan perkataan ‘meriam kapur’ sebagai metafora kepada dakwaan yang dibuat oleh Zakri.

Beliau memberi penjelasan itu selepas Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) meminta Menteri Dalam Negeri menarik balik perkataan tersebut kerana beranggapan isu yang timbul sangat mencemar imej negara.

“Masa kita mengaji Bahasa Melayu Itu metafora. Terima kasih,” kata Saifuddin Nasution. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI