IPOH – Seorang pemandu van penghantaran didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kerosakan pada tujuh kenderaan Ahad lalu.
Tertuduh, R. Vikneshwaran, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Anis Hanini Abdullah.
Anis Hanini turut memerintahkan Vikneshwaran dihukum penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda selain memerintahkan butiran sabitan tertuduh dinyatakan dalam mana-mana lesen memandu milik lelaki itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu van Toyota Hiace tanpa kecermatan dan perhatian sepatutnya terhadap orang lain yang menggunakan jalan berkenaan.
Kesalahan dilakukan di pekarangan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh di sini pada pukul 2.54 pagi, 5 Oktober lalu.
Media sebelum ini melaporkan beberapa buah kenderaan yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran Stesen KTM Ipoh mengalami kerosakan teruk, bagaimanapun tiada mangsa yang cedera. – KOSMO! ONLINE