fbpx
NURKHAIRIENA mula sertai aktiviti sukarelawan sejak sekolah menengah.

Misi kesukarelawan Nurkhairiena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUKARELAWAN merupakan individu yang menyumbangkan masa, tenaga dan kemahiran untuk membantu masyarakat atau tujuan tertentu tanpa mengharapkan ganjaran material.

Aktiviti sukarelawan bukan sekadar memberi bantuan fizikal tetapi juga membina empati, kepimpinan dan nilai tanggungjawab sosial.

Bagi Nurkhairiena Dzulfadlah Mohd Dasila, sukarelawan bukan sekadar hobi tetapi misi hidup yang dimulakannya sejak di sekolah menengah melalui program mentoring halaqah anjuran YOSH MyFundAction.

Dari situ, wanita berusia 22 tahun ini dididik bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga kepimpinan, nilai empati dan kesedaran sosial.

Kini, Nurkhairiena yang menuntut di Universiti Sains Malaysia aktif menyertai pelbagai program khidmat masyarakat, sama ada di sekolah, kolej, universiti atau komuniti luar.

Inspirasi terbesar Nurkhairiena datang daripada kisah Mus‘ab bin ‘Umair, pemuda Quraisy yang kaya, berpengaruh dan memeluk Islam pada usia muda tetapi sanggup berkorban demi memberi manfaat kepada orang lain.

“Inspirasi terbesar saya ialah kisah Mus‘ab bin ‘Umair, pemuda Quraisy yang lengkap segalanya iaitu kaya, kacak, disegani dan yang paling penting, memeluk Islam pada usia 16 hingga 17 tahun.

“Walaupun masih muda, beliau sanggup berkorban demi manfaat orang lain. Jika beliau boleh berkorban begitu, apalah sangat pengorbanan saya hanya untuk turun padang membantu masyarakat,” katanya kepada K-Remaja.

Dalam memilih organisasi, anak jati Melaka itu menekankan kepentingan menyertai pasukan yang membina generasi pemimpin bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga kukuh dari segi rohani dan kepimpinan.

Secara purata, Nurkhairiena meluangkan masa tiga hingga empat kali sebulan untuk aktiviti sukarelawan dengan penglibatan lebih mendalam dalam projek berskala besar atau ketika hujung minggu.

Untuk menyeimbangkan akademik dan sukarelawan, dia menggunakan jurnal akademik bagi mengurus jadual belajar, ulang kaji dan kumpulan belajar.

Bagi pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Biologi Gunaan (Agrobiologi) itu, masa peribadi digunakan bukan sekadar untuk rehat tetapi juga untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

Nurkhairiena (berdiri tiga dari kiri) ketika menyertai projek dakwah dan budaya Islam di Jepun.

Pengorbanan fizikal bukan asing baginya. Semasa projek antarabangsa di Jepun, dia hanya tidur dua hingga tiga jam demi memastikan program berjalan lancar.

“Pengalaman paling berkesan pada saya ialah projek dakwah dan budaya Islam di Jepun, rakan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang sanggup menempuh perjalanan jauh dan membuat pengorbanan demi kejayaan program.

“Malah, seorang mualaf muda dari Tokyo hadir buat kali kedua kerana ingin mencari kembali hidayah.

“Ini menunjukkan betapa usaha kecil sukarelawan mampu memberi kesan mendalam kepada kehidupan seseorang,” katanya,” tuturnya.

Akuinya, cabaran utama dalam sukarelawan termasuk pengurusan masa dan kewangan.

Namun, Nurkhairiena mengambil pegangan para nabi yang bekerja semata-mata untuk Allah, menjadikan motivasi itu cukup kuat untuk terus berkhidmat walaupun penat.

Interaksi dengan komuniti telah mengajarnya empati, menghargai nikmat kecil dan memahami bahawa setiap individu mempunyai cerita tersendiri.

Kini, dia berharap dapat membesarkan platform sukarelawan terutamanya dalam pendidikan dan pembangunan komuniti.

“Projek Qurban Care 4 Ummah yang saya terlibat kini beroperasi di sembilan negara, termasuk Palestin, Jordan, Mesir, Turki, Syria, Ethiopia dan Bangladesh.

“Dengan ilmu dalam bidang Agrobiologi, saya bercita-cita menjadi pakar pembiakan lembu bagi memastikan lembu korban berkualiti tinggi, halal dan sesuai dengan standard.

“Harapan saya, sukarelawan kami suatu hari nanti dapat menjadi penyumbang utama lembu korban bagi dunia Islam, insya-Allah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN