PONTIAN – Seorang penduduk di Kampung Rimba Terjun di sini bimbang keselamatan diri dan keluarganya apabila tanah pusaka yang didiami sejak 40 tahun lalu semakin dihakis ombak.
Khairul Azman A. Rahman, 47, berkata, hakisan tersebut semakin menghampiri kawasan rumahnya yang kini berjarak kira-kira 50 meter dari pantai.
Katanya, dia tidak berdaya menghalang hakisan pada setiap tahun di atas tanah berkeluasan kira-kira 0.4 hektar apabila sedikit demi sedikit hilang ditelan ombak.
“Jika tiada sebarang usaha dilakukan sama ada pembinaan benteng pemecah ombak atau penahan hakisan pantai, dikhuatiri rumah pusaka juga hilang ditelan arus.
“Ketika ini tiada lagi pokok-pokok bakau yang berfungsi sebagai penampan ombak dan tentu akan lebih memudahkan berlaku hakisan pantai,” katanya ketika ditemui di Lorong Sayong, Kampung Rimba Terjun, di sini semalam.
Turut hadir Ketua Kampung Kawasan (5) Mukim Rimba Terjun, Rahmat Sahidon.
Khairul Azman berharap agar pihak berwajib terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat memikirkan sesuatu supaya masalah hakisan dapat diatasi.
“Ke mana lagi kami berpindah, ini tanah pusaka keluarga yang menjadi tempat kami tinggal sejak 40 tahun lalu,”ujarnya.
Sementara itu, Rahmat berkata, selain Lorong Sayong, hakisan juga berlaku di sepanjang Lorong Hijrah ke belakang Masjid Jamek Kampung Rimba Terjun sepanjang 600 meter.
Katanya, beberapa projek pembinaan benteng hakisan pantai dilakukan di Lorong Yang Mohammad berikutan terdapat rumah penduduk hampir ‘ditelan’ laut.
Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng ketika melawat kawasan itu menyatakan komitmen mendapatkan peruntukan bagi membina benteng penahan ombak.
Katanya, beliau telah membawa perkara tersebut kepada kementerian berkaitan dan juga dibawa ke sidang Parlimen baru-baru ini.














