WASHINGTON – Presiden Donald Trump membuka pintu pengampunan kepada Ghislaine Maxwell yang disabitkan bersalah kerana membantu ahli kewangan dan pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein mendera secara seksual gadis remaja, lapor akhbar South China Morning Post(SCMP) hari ini.
Trump juga berkata, Sean ‘Diddy’ Combs yang dijatuhi hukuman penjara lebih empat tahun pada Jumaat lepas atas sabitan kesalahan berkaitan pelacuran juga memohon pengampunan Presiden Amerika Syarikat(AS).
Pada hari sama Mahkamah Agung menolak mendengar rayuan Maxwell untuk membatalkan sabitan kesnya, Trump apabila ditanya sama ada beliau akan membebaskan Maxwell melalui dekri pengampunan berkata, beliau akan bercakap dengan Jabatan Kehakiman (DOJ).
“Saya sudah lama tidak mendengar nama ini. Saya boleh katakan ini, saya perlu melihatnya. Saya akan bercakap dengan DOJ,” kata Trump.
Memberikan pengampunan kepada Maxwell bagaimanapun membawa risiko politik kepada Trump.
Kedua-dua penyokong Parti Republikan dan seteru, Parti Demokrat menuntut pentadbiran beliau menyiarkan fail siasatan Epstein.
Trump berkata, ramai orang meminta pengampunan daripadanya dan merujuk kepada Combs.
“Saya memanggilnya Puff Daddy, [dia] telah meminta pengampunan daripada saya,” kata Trump.
Peguam Combs memberitahu, mereka merancang untuk merayu pengampunan selepas artis pemenang Grammy dan eksekutif muzik itu dijatuhi hukuman penjara pada Jumaat lepas kerana mengangkut individu merentasi sempadan negeri untuk pertemuan seksual.
Kes itu menghancurkan reputasinya yang dipupuk dengan teliti sebagai usahawan selebriti yang ramah, hos parti berprestij dan bintang realiti televisyen.
Hakim Daerah AS, Arun Subramanian juga mendenda Combs sebanyak AS$500,000 (RM2.1 juta) , jumlah maksimum yang dibenarkan. – AGENSI