WASHINGTON – Jumlah pelajar Asia yang tiba di Amerika Syarikat(AS) pada Ogos 2025 susut hampir 24 peratus berbanding tahun lepas, demikian menurut data kerajaan AS, menandakan angka Ogos terendah dalam rekod di luar pandemik Covid-19.
Akhbar South China Morning Post (SCMP) melaporkan, data tersebut adalah berdasarkan rekod ketibaan pelajar antarabangsa yang diterbitkan oleh Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa (ITA) Jabatan Perdagangan, termasuk pelajar baharu dan pelajar sedia ada yang kembali ke AS.
Penurunan itu bertepatan dengan langkah-langkah yang dilaksanakan pentadbiran Presiden Donald Trump, termasuk kelewatan memproses visa, sekatan perjalanan ke atas beberapa negara Asia, ancaman untuk mengusir warga asing dan saringan lebih ketat terhadap pemohon visa, terutamanya dari tanah besar China serta Hong Kong.
Asia yang ditakrifkan oleh ITA secara berasingan daripada Asia Barat, menyumbang lebih 191,000 atau 60 peratus daripada semua ketibaan visa pelajar pada Ogos lepas.
China dan India kekal dua sumber terbesar pelajar antarabangsa dengan masing-masing merekodkan lebih 86,000 dan lebih 41,000 ketibaan.
Kedua-duanya menyaksikan penurunan mendadak dari Ogos tahun lepas iaitu 12.4 peratus untuk China dan 44.5 peratus untuk India.
Sementara itu, Hong Kong menyaksikan penurunan 7.7 peratus dalam ketibaan pelajar ke AS.
Secara keseluruhan, jumlah pelajar antarabangsa yang memasuki AS jatuh 19.1 peratus berbanding Ogos 2024, berkurangan daripada kira-kira 387,000 kepada 313,000 orang.
Wilayah lain termasuk Afrika, Amerika Selatan dan Asia Barat juga mencatatkan penurunan peratusan dua digit, manakala Eropah Barat hanya menyaksikan sedikit penurunan sebanyak 0.7 peratus.
Afrika mencatatkan penurunan terbesar berbanding semua wilayah, dengan ketibaan menurun hampir satu pertiga.
AS menjadi tuan rumah kepada lebih sejuta pelajar antarabangsa di universiti dan kolejnya. – AGENSI