PETALING JAYA – Sebanyak 17 daripada 46 projek pembangunan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini berstatus lewat seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 3 Tahun 2025 telah berjaya disiapkan, setakat ini.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, daripada jumlah berkenan 19 projek berada dalam pelbagai status pelaksanaan iaitu projek Dahulu Jadual (tiga), projek Ikut Jadual (lapan), projek Lewat Jadual (tiga) dan projek tender semula (lima).
“Baki 10 projek masih kekal berstatus lewat (sakit),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
KPM menegaskan, pihaknya sentiasa berusaha memastikan semua projek pembangunan pendidikan dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Antara langkah yang dilaksanakan KPM bagi menangani isu ini adalah dengan melakukan pemantauan rapi di tapak dan melalui mekanisme penyelarasan pelaksanaan pembangunan negara.
“Sesi libat urus turut diadakan dengan semua pemegang taruh secara berkala termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan penyedia utiliti,” ujarnya.
Terdahulu, LKAN mendedahkan projek pembangunan pendidikan yang tertangguh di seluruh negara dengan sebanyak 46 projek pembangunan bawah KPM berstatus lewat (sakit).
Katanya, jumlah ini mewakili 2.3 peratus daripada keseluruhan 2,040 projek di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12. – KOSMO! ONLINE