KUALA LUMPUR – Seramai tujuh individu ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam penyebaran video dan kenyataan berunsur hasutan serta penghinaan terhadap pemimpin negara di media sosial.
Penahanan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dalam tempoh antara 17 September hingga semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan dijalankan susulan tujuh kes penularan video di aplikasi TikTok dan Facebook yang dikesan mengandungi elemen hasutan, ugutan serta penghinaan terhadap kerajaan dan pemimpin.
“Kes pertama membabitkan pemilik akaun TikTok @zollpatv yang membuat komen berbaur hasutan terhadap kerajaan dan pemimpin negara.
“Kes kedua pula melibatkan pengguna akaun @saya_alif5 yang memuat naik hantaran mengaibkan terhadap pemimpin negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, lima lagi kes membabitkan akaun @japajafaruddinshop, @HonaKia53, @k_a_m_i_l_2905, @tokgompo, dan akaun Facebook Vincent Naidu, masing-masing turut memuat naik hantaran berunsur penghinaan, ugutan serta kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam.
Jelasnya, kesemua tangkapan dilakukan secara berasingan di beberapa lokasi seluruh negara dengan perintah reman antara satu hingga tiga hari dibenarkan oleh mahkamah bagi membantu siasatan lanjut.
“Hasil semakan mendapati, salah seorang suspek berusia lingkungan 40-an mempunyai 19 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, manakala seorang lagi berusia 60-an pernah disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE